|
||
|
|
| Menteladani Peristiwa di Akhir Hayat Rasullah SAW - oleh Ustaz Dr Azhar Yaakob | ||
| (posted on 15 Mac, 2009) | ||
Pada mulanya tajuk yang diberikan kepada beliau adalah untuk membincangkan topik mengenai gandingan antara ulama’ dan umara’ bagi konteks pentadbiran dan pemerintahan, tetapi disebabkan topik itu dikira agak berat, beliau telah memohon supaya tajuk yang lebih hampir dengan peristiwa Maulidur Rasul dipilih. Walaupun mahsyur tentang tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW pada hari Isnin, 12 Rabi’ul Awwal 13 tahun sebelum Hijrah, perkara ini tidak disepakati oleh para ulama seerah dan ulama hadith. Di dalam beberapa kitab seerah yang mahsyur seperti tulisan al-Mubarakfuri, tarikh kelahiran Nabi SAW diperselisihkan. Sebahagian mengatakan pada 12 Rabi’ul Awwal, dan sebahagian mengatakan pada 9 Rabi’ul Awwal, dan al-Mubarakfuri menganggap tarikh 9 Rabi’ul Awwal adalah lebih tepat. Tarikh Maulidur Rasul tidak diketahui dengan tepat adalah kerana ianya tidak disambut atau dibesar-besarkan pada masa hayat Baginda SAW, zaman para Sahabat r.anhum dan juga Tabi’in, dan Tabi Tabi’in. Walau bagaimanapun, tarikh kewafatan Baginda SAW disepakati pada hari Isnin, 12 Rabiul Awwal juga berterpatan dengan tarikh sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu pada hari Isnin. Di dalam penyampaian ceramahnya, Dr Azhar menyingkap peristiwa-peristiwa pada penghujung hayat Baginda SAW sebelum kewafatannya. Peristiwa-peristiwa tersebut beserta ibrah-ibrahnya (pengajaran) adalah seperti berikut:
Konspirasi Yahudi Bani Nadir untuk membunuh Nabi SAW berlaku ketika Baginda SAW datang ke perkampungan mereka. Mereka telah merancang untuk menjatuhkan sebiji batu yang besar ke atas Baginda SAW apabila melalui satu lorong. Allah SAW telah mewahyukan kepada Nabi SAW melalui perkhabaran Jibril a.s. tentang rancangan jahat kaum Yahudi tersebut membuatkan Nabi SAW menukar perancangannya. Peristiwa ini memenuhi janji Allah SWT untuk sentiasa melindungi Nabinya dari perancangan jahat musuhnya. Pada masa yang sama, seorang Yahudi bernama Bisyar bin Barrak telah mengakui memeluk Islam dan menawarkan diri untuk menjadi tukang masak kepada Nabi SAW dan sahabatnya. Tujuan beliau sebenarnya adalah untuk membunuh Nabi SAW dengan melumurkan racun kepada makanan yang dihidangkan, iaitu makanan kegemaran Baginda SAW iaitu kambing panggang di bahagian paha. Dalam peristiwa tersebut, Baginda tidak sempat memakannya apabila daging itu tiba-tiba memberitahu tentang ia telah dilumurkan racun. Bisyar mengaku membubuh racun tersebut untuk menjadi bukti sekiranya benar Nabi adalah seorang Rasul, Baginda akan mendapat perkhabaran tentang rancangan tersebut. Salah seorang sahabat Nabi SAW telah terlebih dahulu memakan hidangan tersebut dan mati akibat racun. Oleh kerana itu, Bisyar telah dikenakan hukumam qisas kerana membunuh. Walaupun Baginda SAW terselamat dari memakan daging tersebut, sedikit kesan racun yang terkena bibir Baginda SAW telah memberi kesan jangkamasa panjang sehingga menjadi asbab kepada kewafatan Baginda SAW. Ibrah : Peristiwa ini menunjukkan sikap kaum Yahudi yang sentiasa memusuhi umat Islam dan termaktub dalam sejarah sebagai pembunuh para Nabi-Nabi. Nabi Zakaria a.s., Nabi Yahya a.s., dan pada kepercayaan pengganut Nasrani, Nabi Isa a.s. juga telah dibunuh oleh mereka. Permusuhan yang berpanjangan dari kaum Yahudi ke atas umat Islam akan berterusan sehinggalah mereka ditewaskan dengan bantuan Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s., pada zaman apabila qiamat hampir berlaku.
Haji perpisahan atau Haji Wida’ berlaku pada tahun ke 10 Hijrah di mana Nabi SAW bersama lebih kurang 100,000 umat Islam telah menunaikan ibadah Haji. Haji Wida’ adalah ibadah haji yang pertama dan terakhir yang dibuat oleh Nabi SAW di sepanjang hayat baginda walaupun pada hakikatnya, Baginda SAW boleh melakukannya lebih kerap lagi. Ibrah : Yang boleh diambil dari perkara ini adalah keutamaan dalam ibadat. Ibadat Haji yang wajib adalah sekali sahaja bagi seumur hidup, dan keutamaan adalah untuk perkara lain sekiranya tuntutan haji ini telah dipenuhi. Bagi sesetengah dari mereka yang berkemampuan untuk mengulangi ibadah haji adalah lebih aula untuk menyalurkan wang tersebut ke arah kegiatan-kegiatan dakwah yang lain, membantu orang miskin, ataupun memberi tajaan kepada orang lain untuk menunaikan Haji.
Seperti yang diriwayatkan oleh A’isyah r.anha, Baginda sering menziarahi kubur sahabat-sahabat yang telah mendahului Baginda SAW di perkuburan Baqi’ di Madinah yang terletak lebih kurang 500m dari masjid Nabawi. Baginda memilih untuk melakukannya selepas 2/3 malam. Apabila memasuki kawasan perkuburan, Baginda SAW memberikan salam dan berdoa buat mereka: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّياَرِ، مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَا ءَ اللهُ بِكُمْ لاَ حِقُونَ [وَ يَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتأَخِرِينَ ] أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ. Bermaksud: “Semoga kesejahteraan ke atasmu, wahai penghuni kubur daripada mukminin dan muslimin. Sesungguhnya kami, Insya Allah akan menyusul kamu. [Semoga Allah memberi rahmat ke atas golongan yang terdahulu yang terkemudian daripada kita.] Aku memohon kepada Allah keselamatan bagi kami dan kamu.” – (Riwayat Muslim dan Ibn Majah) Ibrah: Amalan menziarahi kubur adalah berkesan untuk melembutkan hati terutamanya jika dilakukan secara bersendirian di waktu yang sunyi. Sekiranya amalan ini masih gagal untuk melembutkan hati, maka amat sukarlah hati untuk dilembutkan dengan cara-cara yang lain.
Baginda SAW telah ditimpa sakit sebanyak tiga jenis secara serentak iaitu sakit kepala, batuk yang kuat (sama seperti dua orang lelaki), demam panas, dan demam panas. Di dalam sebuah hadith Baginda SAW, ada disebut bahawa demam panas sehari akan menghapuskan dosa (kecil) selama setahun. Baginda SAW memberitahu bahawa kesakitan yang menimpa Baginda SAW adalah kesan dari racun yang terkena pada Baginda semasa peristiwa di Khaibar. Ibrah: Sakit yang menimpa orang mukmin adalah menjadi kaffarah yang menghapuskan dosa-dosa kecil, sementara dosa-dosa besar akan hanya terampun dengan taubat nasuha.
Pada suatu hari, Baginda SAW telah meminta supaya para sahabat yang kanan supaya berkumpul di rumah Baginda untuk mendengar wasiat. Telah berlaku sedikit perselisihan pendapat di antara Abu Bakar r.a. dan Umar al-Khattab samada ingin meneruskan program itu. Apabila percanggahan pendapat itu berlarutan sehingga suara kedua-duanya meninggi, lantas Rasulullah SAW menyuruh kesemua mereka keluar dari rumah Baginda dan program tersebut dibatalkan terus. Perbuatan para sahabat kanan yang mengangkat suara di hadapan Rasullullah SAW telah melanggar adab terhadap Rasulullah SAW seperti yang telah dijelaskan di dalam Al-Qur’an. Ibrah: Umat Islam mestilah beradab terhadap Nabi SAW dari segi mengawal suara supaya tidak lebih tinggi dari Nabi SAW sebagai tanda hormat. Bagi umat Islam yang hidup selepas zaman Baginda SAW, merendahkan suara diqiyaskan seperti tidak berbuat atau berkata sesuatu melampaui sabda Baginda SAW apatah lagi menolak hadith/sunnah, ataupun lebih serius lagi, menghina sunnah atau batang tubuh Baginda SAW.
Sepanjang Baginda SAW sakit kuat selama 5 hari, Baginda SAW tidak bersolat bersama para sahabat di masjid. Sewaktu ingin melantik imam, ada di kalangan para sahabat yang mencadangkan Umar al-Khattab r.a. untuk datang ke depan. Apabila Baginda SAW terdengar suara Umar mengarahkan para makmum merapatkan dan meluruskan saf, Baginda SAW menegur supaya orang lain mengambil tempat imam. Kemudiannya, apabila terdengar suara Abu Bakar r.a. menggantikan Umar, Baginda diam sahaja tanda setuju walaupun A’isyah r.anha mengingatkan Rasullullah SAW yang mana Abu Bakar sangat lembut hati dan mudah menangis dalam solat. Ibrah: Amalan para imam mengingatkan makmum supaya merapatkan dan meluruskan saf adalah amalan lazim Nabi SAW dan para sahabat. Dan ekoran restu yang ditunjukkan oleh Rasullullah kepada Abu Bakar r.a. menjadi imam solat menjadi petanda restu Baginda supaya Abu Bakar mengambil tempat sebagai Khalifah selepas kewafatannya.
Selepas lima hari mengidapi sakit yang teruk, pada subuh Isnin 12 Rabi’ul Awwal, Baginda SAW menjadi sihat semula dan tanda-tanda telah pulih. Apabila para sahabat berdiri dalam saf untuk memulakan solat suboh, Baginda SAW membuka pintu rumahnya dan berdiri di sana untuk beberapa ketika dan memberi isyarat supaya mereka tidak berganjak. Nabi SAW lantas merenung wajah setiap sahabat satu persatu sambil melemparkan senyuman sebelum menutup pintu dan kembali kerumahnya. Solat Suboh pada pagi itu dimulakan lewat sedikit akibat dari kehadiran Baginda. Para sahabat menyangka bahawa Rasulullah SAW telah pulih sepenuhnya dan mereka tidak menziarahi Baginda SAW pada hati itu, tidak seperti sebelumnya. Semasa Baginda sedang nazak, A’isyah telah memangku Baginda SAW dan dapat mendengar beberapa pesanan terakhir Baginda SAW. Di antaranya, pesanan untuk menjaga solat dan kebimbangan Baginda terhadap umatnya. Apabila roh Baginda SAW keluar dari jasadnya, A’isyah terhidu bau yang sangat harum dari hidung Baginda SAW. Ibrah: Pesanan terakhir Nabi SAW menjadi isyarat betapa pentingnya umat Islam menjaga solat iaitu satu-satunya jalinan terus di antara hamba dan Allah SWT. Kecintaan Nabi SAW kepada umatnya adalah sangat tinggi sehingga pada saat getir, Baginda SAW masih memikirkan nasib umatnya setelah pemergiannya. Cinta Baginda SAW ini perlulah dibalas oleh umatnya sekiranya ingin mendapat taraf sebagai umat Nabi SAW dan mendapat syafaatnya di akhirat. whlm. |