Mengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota Kuliah

Kuliah Khas: Fiqh Muammalat - Riba dan Jual Beli- posted 5 Jan 2009  

 

Ustaz Nazri Chik telah membentangkan sambungan kepada kuliah beliau sebelumnya untuk memfokuskan kepada topik penting bagi umat masakini iaitu isu riba. Dalam pembukaan ceramahnya, beliau telah menyentuh tentang ancaman al-Qur'an ke atas golongan yang mengamalkan riba'.

Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya. (Al-Baqarah 2:279)

 

Ustaz Nazri Chik

 

Di dalam komentarnya, Imam Malik bin Anas r.h. mengatakan beliau tidak menjumpai dosa yang lebih besar (selain syirik) di dalam al-Qur'an dari dosa riba' sehingga Allah s.w.t. dan RasulNya mengisytiharkan perang ke atas pengamal riba'.

Di dalam komentar yang lain, ulama mufassirin pula mengatakan para pengamal riba' akan bangkit di mahsyar seolah-olah diarahkan untuk menyiapkan persenjataannya untuk memerangi Allah s.w.t. Begitulah beratnya akan dosa mengamalkan riba'.

 
Di antara ciri-ciri asas agama Islam, bagi setiap larangan akan ada alternatif yang dihalalkan. Di dalam al-Qur'an, pengharaman riba' disertakan dengan alternatif iaitu penghalalan jual beli. Ini seperti yang termaktub di dalam surah Al-Baqarah:

Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama seperti riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba...... (Al-Baqarah 2:275)

 

 

Dalam penulisannya, ulama tersohor dewasa ini Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaily yang baru-baru ini menerima anugerah tokoh ma'al hijrah Malaysia menekankan betapa pentingnya ilmu muammalat terutama bagi para peniaga. Perkara ini pernah ditekankan oleh Khalifah Islam kedua, Umar al-Khattab r.a.

"Jangan kamu berjual beli di pasar kami, kecuali setelah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya." (Riwayat at-Tirmidzi # 487, dinilai Hasan oleh Albani).

   

 

Di dalam ayat al-Qur'an yang menyebut jual-beli sebagai ganti kepada riba', perbincangan para ulama tentang penggunaan terma "jual-beli" adalah kerana transaksi jual beli merupakan yang paling kerap berlaku berbanding transaksi lain seperti sewa, pajak, jamin, dan sebagainya.

 

Definisi jual beli boleh diringkaskan sebagai pertukaran barang dengan barang dengan saling redha meredhai diantara pihak yang terlibat. Dalam penentuan hukum bagi sesuatu transaksi, ianya tidak bergantung kepada dalam lafaz sesuatu transaksi tetapi adalah kepada "substance" sebenar sesuatu transaksi.

 

Sebagai contoh, sekiranya seseorang melafazkan perkataan "jual" tapi tidak mengenakan sebarang harga (percuma) kepada sipenerima barangan, maka hukum baginya adalah 'hibah' bukannya jual-beli. Begitu juga, sekiranya sipenjual melafazkan sesuatu barang sebagai percuma tetapi mengenakan syarat iaitu perlu membeli barangan lain untuk mendapatnya, barangan tersebut tidak dikira hadiah/percuma tetapi harganya telah dimasukkan ke dalam harga barangan lain yang perlu dibayar.

 

  Jenis-jenis jual beli boleh dibahagikan kepada empat, bergantung kepada apa yang ditukarkan:
  1. Aset dengan aset. Ini lebih dikenali sebagai pertukaran barang dengan barang atau disebut sistem 'barter'.
  2. Aset dengan harga. Bagi transaksi ini, sipembeli menggunakan matawang sebagai modus pembayaran. Harga/pembayaran boleh berlaku dalam dua cara samada tunai ataupun  hutang. Dan bagi pembayaran secara hutang pula, pembayaran semula boleh berlaku secara ansuran ataupun secara lump-sum(muajjal/sekali gus).
  3. Harga dengan aset. Bagi transaksi ini, pembayaran dilakukan dahulu sebelum barang diserahkan. Ini juga sering dikenali sebagai tempahan.
  4. Harga dengan harga. Ini adalah pertukaran matawang atau lebih dikenali sebagai sarf/ currency exchange.
 

Dalam sesuatu transaksi jual beli, sipenjual tidak diwajibkan untuk memberitahu kos sebenar bagi sesuatu barangan, dan proses tawar-menawar adalah dibenarkan sehingga kedua-dua pihak redha meredhai harga sesuatu barangan sebelum transaksi jual beli boleh berlaku secara sah. Tetapi sekiranya sipenjual memilih untuk mendedahkan kos sebenar sesuatu aset dan kadar untungnya, ini dikategorikan sebagai bai' murabahah.

Mengenai tahap keuntungan yang dikira sah, tiada dalil yang menghadkan keuntungan pada tahap 100% sebagaimana yang kerap menjadi sebutan segelintir golongan. Yang dititik beratkan adalah redha-meredhai (mutual consent) dan tiada unsur penipuan dan penindasan. Secara amnya, Islam berpegang kepada konsep kuasa pasaran dalam penentuan harga barangan untuk melindungi kedua-dua pihak samada pembeli dan penjual.

Dan terakhir sekali, rukun transaksi terbahagi kepada lima:

  1. Penjual - syarat bagi penjual adalah mampu memegang tanggung jawab terhadap transaksi, baligh/berakal, dan bebas dalam membuat keputusan (tidak dipaksa)

  2. Pembeli- syarat bagi pembeli adalah sama seperti penjual. Bagi kes pembelian melibatkan kanak-kanak, para ulama telah mengambil kira amalan yang diterima/adat bagi sesuatu komuniti. Sebagai contoh murid-murid yang membeli barangan makanan di kantin sekolah. Ini terhad kepada barangan yang terlibat adalah dianggap munasabah bagi sipembeli/penjual.

  3. Barang/aset/matawang yang wujud

  4. Harga yang jelas

  5. Ijab-kabul atau redha-meredhai di antara pihak yang terlibat

Sambungan kepada nota akan dibuat pada ceramah akan datang, insyaALlah.

Semasa sessi soal jawab, Ustaz Nazri Chik juga menyentuh tentang perkara berikut:

  1. Penggunaan kad kredit konvensional dan kad kredit Islam. Secara amnya, penggunaan kad kredit konvensioanal tidak menepati hukum syarak. Transaksi tersebut bermasalah dari segi syarak tetapi barangan yang dibeli adalah halal.

  2. Penambahan harga barangan akibat dari pembayaran yang tertangguh tidak dikira riba' tetapi dikira sebagai untung kerana tidak melibatkan pertukaran barangan ribawi.

  3. Kegiatan mengutip derma sewaktu khatib sedang berkhutbah adalah menjejaskan solat Jumaat kerana proses tersebut boleh diklasifikasikan sebagai transaksi jual-beli. Kutipan derma sepatutnya berlangsung samada sebelum khatib naik ke mimbar atau selepas selesai solat.

Whlm.

 

SAF2008 Powered by NetMyne