|
||
|
|
| Ceramah Khas: Peristiwa Gempabumi di Padang dan Pengajaran - oleh Ustaz Iqbal | ||
| (posted on 26 Nov, 2009) | ||
Kedatangan Ustaz Iqbal bukan sekadar untuk berkongsi sedutan-sedutan kejadian malapetaka tersebut, tetapi yang lebih penting memberi peringatan kepada hadirin tentang dosa-dosa di dalam masyarakat terbabit yang memungkinkan mengundang kemarahan dan hukuman dari Allah swt. Sewaktu kejadian tersebut berlaku, beliau sedang berada di dalam sebuah bas sejurus selepas membeli belah di sebuah pasaraya. Menyaksikan kegoncangan yang hebat, sebahagian dari mereka hanya mampu menyeru nama Allah, menandakan hilangnya harapan kepada yang lain. Mukabumi yang bergerak seolah-olah gelombang samudera, mereka hanya mampu membaringkan diri dan tidak mampu untuk berdiri untuk beberapa ketika walaupun gempa bumi telah berhenti. Berdasarkan penelitian Ustaz Iqbal, maksiat yang berleluasa di sekitar daerah Padang adalah di antara pengundang bala dari Allah swt. Di antara amalan buruk penduduk setempat termasuk gejala arak di kalangan pemuda dan remaja, trend majlis tari menari sempena majlis keramaian, gejala zina yang berleluasa. Selain itu, agama sudah seperti ditinggalkan. Ini dapat dilihat dengan kosongnya masjid dan surau dari kunjungan ahli qariah bagi menunaikan solat fardhu lima waktu. Sebagaimana amaran dari Allah yang termaktub dalam al-Qur’an, sesiapa yang mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah, maka Dia akan menambahnya. Tetapi barangsiapa yang mengkufurinya, siksa dari Allah sangat pedih. Gejala kufur nikmat dapat dilihat dengan peningkatan gejala maksiat walaupun setelah dikurniakan dengan nikmat yang banyak. Penolakan hukum-hukum Allah oleh pihak yang berkuasa dan masyarakat yang semakin jauh meninggalkan sunnah Nabi SAW adalah juga di antara petanda agama yang semakin terpinggir dalam masyarakat. Yang lebih menyedihkan, sebahagian besar masyarakat masih tidak mengambil iktibar dari hukuman yang ditimpakan ke atas mereka. Masjid dan surau masih lagi kosong dari kunjungan umat Islam seolah-olah peringatan dari Allah swt tidak memberi sebarang kesan. Di akhir ceramahnya, Ustaz Iqbal bersungguh-sungguh mengingatkan para hadirin supaya terus istiqamah dengan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Di antara saranan beliau adalah supaya amalan membaca al-Quran di kalangan ahli keluarga terutama anak-anak diamalkan di setiap rumah. Semoga dengan amalan ini, rahmat dari Allah akan berterusan dan masyarakat dijauhkan dari bala dan bencana.
whlm. |
