|
Program
Minda al-Furqan bersambung lagi pada
malam minggu (17 Okt 2009) yang lepas di
celah-celah sambutan AidulFitri dan
rumah terbuka. Penceramah jemputan
kali ini adalah seorang bekas
mubaligh Kristian iaitu Ustaz Hj
Mohd Farhan yang berasal dari Sabah.
Tajuk perbincangan yang dibentangkan
adalah “Peranan Ibubapa dan Anggota
Masyarakat Dalam Menangani Gejala
Murtad”.
Berbekalkan pengalaman peribadi
beliau yang mengharungi zaman awal
remaja sebagai seorang yang telah
dilatih untuk menjadi mubaligh
Kristian, beliau telah berkongsi
kisah bagaimana usaha beliau pada
awal keislaman terutama untuk
berhadapan dengan seorang ayah yang
hampir membunuhnya di atas tindakan
beliau meninggalkan agama asalnya.
Beliau telah merantau ke Semenanjung
Malaysia dan terus berazam untuk
berdakwah kepada keluarganya
terutama kepada ayahnya. Ibunya
adalah yang pertama memeluk Islam,
diikuti oleh adik-beradik
perempuannya. Sebagai anak tunggal
lelaki dalam keluarga, faktor ini
sedikit sebanyak membantu
mempengaruhi keluarganya.
Sepanjang ceramah yang disampaikan
oleh beliau, beliau banyak menyentuh
tentang usaha-usaha dakwah kepada
masyarakat di Sabah dan Sarawak. Di
samping itu, beliau juga ada
menyentuh tentang gejala akhlak yang
mempengaruhi golongan muda remaja
yang sungguh ketara terutama sewaktu
program sambutan seperti Hari
Kemerdekaan dan Tahun Baru. Di dalam
satu operasi yang sempat dirakam
sekitar bandaraya Kuala Lumpur,
sekumpulan remaja yand melepak dan
berpeleseran sehingga awal pagi
telah dapat dipujuk untuk diberi
kaunseling.
Menyentuh tajuk perbincangan
mengenai peranan ibubapa dan
masyarakat, beliau menekankan
peranan dakwah yang semestinya
bermula dari rumah. Bapa sebagai
ketua keluarga mesti menjadi contoh
kepada isteri dan anak-anak.
Peranan utama bapa adalah termasuk
berdakwah kepada ahli keluarga.
Sebagai contohnya adalah amalan
solat bersama keluarga. Amalan
qiamullail bersama isteri adalah
salah satu kaedah yang sangat
berkesan menjaga keharmonian
rumahtangga. Peranan ibubapa perlu
dalam memastikan solat sentiasa
dijaga. Di antara punca kepada
gejala sosial di kalangan anak muda
dan remaja adalah apabila agama
tidak dipegang atau dipegang secara
longgar.
Menyentuh peranan guru-guru di
sekolah, beliau menyarankan agar
mereka menyelitkan unsur-unsur
Islam di dalam penyampaian mata
pelajaran. Guru bukanlah semata-mata
bekerja makan gaji tetapi adalah
sebahagian dari unit yang menjadi
pendidik masyarakat. Selain dari
guru, pihak-pihak lain seperti
institusi surau dan masjid,
persatuan penduduk, dan
pertubuhan-pertubuhan masyarakat
perlu memberi sumbangan ke arah
dakwah. Program-program yang boleh
menarik penyertaan golongan sasaran
ini perlu dijadikan wadah dalam
usaha dakwah.
|

Biodata Ustaz Hj Mohd Farhan
Abdullah al-Hafiz
|
Beliau merupakan Penasihat kepada
Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran
Bestari (PPTQB), yang beralamat di
No. 22A Tingkat 1, Jalan 7/2,
Serdang Jaya, 43300 Seri Kembangan,
Selangor Darul Ehsan. url:
http://www.tahfizbestari.com/
Sejarah awal
al Fadhil sebelum ini bergelar
Paster Yohanes, anak kepada seorang
ketua padri kepada 15 buah gereja.
Beliau pernah mengikuti latihan
ketua mubaligh Kristian selama dua
tahun dengan melibatkan diri secara
aktif aktiviti dakyah Kristian
sebelum melanjutkan pengajian
menguasai bahasa Ibrani di Bandung,
Indonesia.
Al Fadhil Ustaz telah memeluk Islam
pada 26 Februari 1990 di Pusat
Latihan Dakwah Keningau, Sabah,
apabila mula tertarik kepada Islam
semasa belajar di Institut Teknologi
Mara, cawangan Sabah (sekarang UiTM)
dan sentiasa berhujjah tentang
masalah perbandingan agama
termasuklah dalam masalah Teologi.
Selepas sahaja mengucap syahadah,
beliau berhijrah ke Pertubuhan
Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di
Kuala Lumpur, sebelum belajar agama
di Perkim Pengkalan Chepa Kelantan
(1991-1993), Nilam Puri (1994)
Pondok (1995), mengambil Diploma
Tahfizul Quran di Pusat Islam
(1996-1998) dan pada 2000 hingga
2003 berada di Shoubra al-Azhar,
Mesir dalam jurusan al-Quran dan
Qiraati.
Selain menguruskan pusat tahfiz, al
Fadhil Ustaz turut giat menyampaikan
maklumat tentang gerakan
kristianisasi yang begitu
membimbangkan. Al Fadhil Ustaz akan
menyampaikan suatu ceramah yang
bertajuk : Kristianisasi dan Ancaman
Gejala Murtad di Malaysia. |
|