Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota KuliahBerita Puncak Alam
MINDA AL-FURQAN: Motivasi Diri: Dia Yang Dekat (Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim)
 - posted on 17 Feb, 2010.

Program Minda Al-Furqan pada musim cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini menghidangkan topik motivasi yang disampaikan oleh Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim. Walaupun sebahagian ahli qariah dijangka pulang ke kampung halaman bersempena cuti panjang, kehadiran pada malam tersebut adalah sangat mengggalakkan dan melebihi jangkaan. Program bermula seusai solat ba’diah Maghrib, dan program telah dipengerusikan oleh Imam Hj Faisal. Sedikit pengenalan tentang latarbelakang penceramah telah diberikan oleh Tuan Pengerusi beserta promosi kepada buku “Travelog Haji” yang telah dibaca dan dihayati oleh beliau.

Terkenal dengan buku Best Seller “Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman” terbitan PTS Publication, Prof Dr Muhd Kamil adalah seorang ahli akademik yang sangat meminati bidang penulisan. Tidak asing dengan Puncak Alam, beliau sebelum ini telah beberapa kali singgah di Surau Al Furqan untuk bersolat sewaktu menziarahi saudara-maranya di sini tanpa disedari oleh ahli qariah. Topik ceramah yang bertajuk “Motivasi Diri: Dia Yang Hampir” adalah perbincangan sekitar pengalaman hidup beliau merentasi fasa perubahan diri setelah bertemu dengan keyakinan kepada pertolongan Allah hasil dari  kesungguhan berdoa. Antara yang diberi penekanan oleh beliau adalah tentang tiada istilah ‘mujur’ atau ‘nasib baik’  kerana setiap sesuatu adalah ketentuan dari Allah swt dan manusia sebagai hamba perlu berusaha dan berdoa dengan bersungguh-sungguh.

Keyakinan beliau dengan bantuan Allah swt adalah juga berdasarkan kefahaman beliau kepada maksud hadith Qudsi berikut:

Dari Abu Hurairah r.a.: Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Tuhan kami (Allah) Tabaraka wa Ta‘ala pada setiap malam turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu pertiga malam. Maka Allah berfirman: “Siapakah yang sedang berdoa kepada aku supaya dapat aku menjawabnya dan siapakah yang sedang meminta daripada aku supaya aku dapat mengabulkannya dan siapakah yang sedang meminta ampun daripada aku supaya dapat aku ampuni dia?"

Hadith sahih, diriwayatkan oleh Imam Malik, al-Bukhari, Muslim, dan lain-lain. Lihat Sahih Muslim - no: 758 (Kitab Solat, Bab Anjuran berdoa dan berzikir di akhir malam........).

Dalam arena motivasi, biasanya motivator akan mengulas berbagai konsep dan teori. Yang lebih berkesan kepada pendengar pada kebiasaannya adalah contoh yang benar-benar terjadi yang dapat meyakinkan pendengar kerana teori semata sangat mudah untuk diperkatakan oleh sesiapa sahaja.Dan yang terlebih berkesan ialah apabila kisah tersebut adalah kisah sebenar yang berlaku kepada diri motivator itu sendiri. Inilah keistimewaan yang ada pada ceramah yang disampaikan oleh beliau. Keyakinan kepada sesuatu yang terhasil dari pengalaman diri sendiri menjadi suatu ransangan yang sungguh kuat untuk berkongsi dan memotivasikan diri manusia di sekeliling.

 

Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim adalah Profesor Perakaunan daripada Universiti Teknologi MARA. Anak kelahiran Besut, Terengganu pada 19 Mei 1964. Berkelulusan PhD, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma daripada UiTM, Universiti Dundee dan Universiti Wales.

Beliau berpengalaman luas sebagai pentadbir akademik UiTM kerana pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Sains Sukan, Timbalan Pengarah UiTM Johor, Ketua Program Perakaunan, Ketua Pusat Pendidikan Luar dan Pegawai Khas kepada Naib Canselor. Beliau adalah pengasas dan Pengarah Financial Reporting Research Center (FRRC) yang menjalankan kerja-kerja penyelidikan kepakaran bidang.

Dr Muhd Kamil adalah penulis buku kreatif PhD: Kecil tapi Signifikan, Ibrahim Shah: Menyingkap Pengurusan Universiti, Motivasi Minda Pelajar, Pelajar Cemerlang dan Motivasi Remaja. Beliau juga menulis buku kepakaran bidang seperti Value Relevance of Accounting Numbers, Financial Reporting in Malaysia dan Corporate Social Responsibility in Malaysia. Beliau juga menulis lebih 400 rencana dipelbagai media massa.

Blog beliau di                                                      http://muhdkamil.net/mystory adalah ruang beliau menulis tentang Kehidupan Ringkas tapi Signifikan dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Beliau berkeluarga, beristerikan Raudzah Roslan dan mempunyai empat cahaya mata.

Berlatarbelakangkan seorang yang pada asalnya kurang komitment kepada agama, susulan beberapa insiden yang menakjubkan yang dialami oleh beliau telah akhirnya berjaya membantu beliau menempuhi satu transformasi terutama dalam komitment terhadap agama. Kisahnya banyak tertumpu ke atas pengalaman beliau semasa persediaan dan juga sewaktu menunaikan fardhu haji sekitar tahun 2006.

Ceramah beliau berlanjutan hampir 2 jam, dan para hadirin dapat bertahan sehingga ke akhir ceramah. Penyampaian yang cukup bertenaga dari seorang penyampai yang ikhlas biasanya akan sampai ke sasarannya yang juga ikhlas mendengar dan menerima. Penulis tidak mahu menakalkan detail tentang kisah pengalaman beliau di dalam wacana ini. Para pembaca boleh dapatkan buku ”Travelog Haji” dari kebanyakan kedai buku dan baca kisahnya dengan selengkapnya.

Secara umumnya, ceramah beliau sangat menyentuh hati bagi mereka yang ingin hatinya disentuh. Semoga hasrat beliau supaya ada insan yang mampu berubah apabila mendengar ceramah beliau tercapai. Program ceramah ini sangat efektif dan berguna bagi para bakal haji ataupun sebagai motivasi kepada mereka yang belum bercadang menunaikan haji. Juga sebagai ukuran bagi mereka yang pernah menunaikan ibadah haji tentang sejauh mana kesan ibadah tersebut telah berjaya atau meningkatkan tahap komitment terhadap agama dan fokus kepada akhirat.

             

 

 - Sumber: ruz2010 -