|
||
|
|
||
| KUPASAN BUKU: TIPS KECEMERLANGAN BERDASARKAN FORMULA DARI AL-QURAN - posted on 26 Mac 2009 | ||
|
||
|
Pengalaman Peribadi Beliau sempat juga berkongsi sedikit pengalaman peribadi beliau di dalam mencari jawapan kepada persoalan yang bermain di kepalanya sewaktu usia remaja. Berasa bosan dengan pengajian agama yang streotype, beliau pun mula mengkaji agama-agama lain untuk mencari jawapan kepada persoalan yang terbelenggu dibenaknya, tanpa pengetahuan ibubapanya. Pencariannya berterusan dengan penyertaannya ke dalam dunia tareqat sehingga ke peringkat menjadi ketua kumpulan zikir semasa menuntut di Iskandariah, Mesir namun persoalannya masih belum terjawab hatta diajukan kepada mursyid tareqat. Akhirnya beliau telah bertemu dengan jawapan yang dicarinya dari Al-Qur’an di mana ianya diterangkan dengan sungguh jelas. Berdasarkan interaksi dengan golongan muda masakini, beliau telah mengesan kecelaruan pemikiran mereka hasil dari serangan pemikiran oleh musuh-musuh Islam dan pendakyah Kristian. Terdapat serangan yang berbentuk penciptaan "Qur'an palsu" dan serangan ke atas aqidah umat Islam. Ibubapa disarankan supaya menyiapkan diri dengan ilmu yang mantap untuk mendepani persoalan yang mungkin ditimbulkan oleh anak remaja mereka. Tips Kecemerlangan Sebelum beliau memberi jawapan kepada persoalan mengenai tips kecemerlangan dari Al-Qur’an, Dr Danial telah menayangkan beberapa contoh golongan pengkaji dan ilmuan dari Barat yang memeluk Islam apabila membaca dan mengkaji Al-Qur’an. Antara yang termasyur adalah Cat Stevens atau sekarang lebih dikenali sebagai Yusuf Islam dan beberapa tokoh lagi. Menurut statistik terbaru, di Amerika Syarikat sahaja, jumlah yang memeluk Islam adalah di antara 20,000 ~ 30,000 orang setiap tahun. Selepas muqaddimah yang agak panjang, akhirnya Dr Danial menyenaraikan beberapa tips utama bagi mencapai kecemerlangan berdasarkan Al-Qur’an. 1. Memantapkan Ilmu Memetik sepotong ayat Al-Qur’an, surah Muhammad ayat 19: فَاعْلَمْ أَنَّهُ لآإِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَ نبِكَ وَلِلْمُؤْمِنَتِ.. Terjemahannya: Maka ketahuilah, bahwa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang Hak) melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan bagi (dosa) orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan.. Di dalam perbahasan mengenai ayat ini di dalam Tafsir Al-Azhar yang ditulis oleh HAMKA, berdasarkan struktur ayat, ilmu telah didahulukan sebelum iman di mana iman memerlukan ilmu yang memberikan kefahaman dan keyakinan. Iman adalah tidak sah tanpa ilmu. Aqidah Islam perlu dipelajari dan difahami, dan tidak boleh sekadar diwarisi. 2. Ilmu adalah semasa dan sahih (authentic) Di dalam pencarian ilmu, seseorang itu perlu memberikan penekanan terhadap mutu ilmu yang dicari. Penekanan kepada ilmu yang terbaru dan semasa di dalam sesuatu bidang sebagai contohnya penemuan baru dalam kajian sains adalah sangat berguna terutama bagi golongan yang suka mengkaji. Contoh yang terdapat di dalam surah Al-Hadid ayat 25, Allah swt berfirman: لَقَدْ أَرْسَلْناَ بِالْبَيِّنَتِ وَأَنْزَلْناَ مَعَهُمُ الْكِتَبَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ، وَاَنْزَلْناَ الْحَدِيدَ فِيهِ بَأسٌ شَدِيدٌ وَمَنَفِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ، إِنَّ اللهَ قَوِىٌّ عَزِيزٌ. Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan Kami turunkan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama) Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Di dalam ayat ini, Allah swt menggunakan perkataan ‘anzalna’ pada dua tempat iaitu pada penurunan Al-Qur’an dan juga besi. Di sini, Allah swt membayangkan bahawa sama seperti Al-Qur’an, besi tidak berasal dari bumi dan dibawa turun ke bumi. Perkara ini telah dibuktikan oleh ilmu sains terkini bahawa besi tidak berasal dari bumi tetapi telah dibawa ‘turun’ melalui proses pelanggaran yang berlaku sebelum kejadian manusia. Menyentuh mengenai ilmu yang sahih atau authentic, beliau telah menegur golongan masyarakat Islam Melayu yang terkenal dengan amalan warisan orang tua dengan menganggap amalan-amalan ini berasal dari agama. Di antaranya amalan tentang kelebihan bulan Rajab, tradisi bubur asyura, dan sabagainya. Beliau menekankan supaya umat Islam di ketika zaman yang mencabar ini supaya melihat dari segi keutamaan sesuatu amalan atau usaha. 3. Meledakkan Taqwa Takwa adalah merupakan kekuatan dalaman yang hebat lagi unik. Ledakannya mampu mengukir sejarah baru dunia. Memetik pandangan yang dikeluarkan oleh seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abdullah bin Mas’ud r.a., beliau mentakrifkan takwa sebagai ‘Taat jangan maksiat’, ‘Ingat jangan lupa’, dan ‘Syukur jangan kufur’. Dr Danial juga telah menyediakan sedikit nota mengenai tajuk yang disampaikan. Para hadirin yang menerima nota semasa sessi program tersebut diharap telah membaca dan memahami isi nota yang beliau sediakan. Rumusan Secara keseluruhannya, program Minda Al Furqan pada malam tersebut adalah sangat baik dari segi penyampaian yang sangat berkesan dan topik yang dibentangkan sangat penting dan relevan bagi umat Islam dewasa ini. Di dalam berinteraksi dengan al-Qur'an, umat Islam bukan sahaja perlu mengaji (membaca), tetapi juga perlu mengkaji dan memahami (tadabbur)akan isi kandungannya. Walau bagaimanapun, tempoh masa yang agak singkat tidak memberi laluan kepada sessi soal jawab yang mungkin akan memberi lebih kepuasan kepada para hadirin. Mungkin kekosongan ini dapat diisi dengan membaca buku-buku tulisan Dr Danial yang terdapat di pasaran seperti di kedai buku MPH atau melalui internet. Informasi mengenai Dr Danial, bahan-bahan hasil kerjanya, dan berinteraksi dengannya boleh di buat melalui capaian berikut: http://www.danialzainalabidin.com
|
