Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota Kuliah
  Memperingati Palestine (Posted: 20 Julai, 2008)    

Program memperingati Palestine ini berlangsung pada hari Sabtu, 19 Julai 2008. Program bermula sekitar jam 3 petang di mana pameran poster serta tayangan video memaparkan kezaliman Yahudi Israel ke atas rakyat Palestine yang terdiri dari orang Islam dan Kristian. Sejarah penubuhan negara haram Israel juga dipaparkan termasuk konspirasi Zionis dalam merealisasikan matlamat penubuhan negara Yahudi di bumi Palestine, bumi penuh barakah, bumi para anbiya'.

 

Program yang dilancarkan oleh Pertubuhan Aman Palestine ini bertujuan menimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam seluruh Malaysia akan keperitan dan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestine dan sokongan yang perlu disumbangkan oleh umat Islam seluruh dunia dalam berkongsi perjuangan rakyat Palestine. Pesanan dari Nabi SAW menegaskan umat Islam supaya peka dan mengambil peduli akan nasib umat Islam yang lain sebagai syarat untuk diiktiraf  umat Baginda SAW di akhirat nanti.

 

 

Beberapa bahan dan buku berkenaan Palestine ada juga dijual bertujuan untuk mengumpul dana. Selain dari buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, sticker pelekat untuk kereta, tabung, lencana dan sebagainya ada juga dijual. Di sebelah petang, selain menghadiri pameran, pengunjung juga berpeluang untuk mendapatkan pemeriksaan gigi dan kesihatan secara percuma.

 

 

Pada sebelah malam, sejurus selepas menyempurnakan solat Maghrib, slot utama program Minda al-Furqan berlangsung dengan ceramah disampaikan oleh Ustaz Fauzi Asmu'in. Dengan bantuan alat pandang dengar, beliau telah menayangkan slide dan juga filem pendek tentang penderitaan rakyat Palestine yang menjadi mangsa kerakusan pihak Yahudi Israel. Antara penekanan yang diberikan adalah tentang kepentingan bumi Palestine kepada umat Islam. Antaranya hujjah Dr. Yusoff al-Qaradhawi tentang bumi Palestine sebagai bumi berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj, kiblat asal umat Islam, Masjid al-Aqsa dan kelebihannya sebagai masjid kedua yang telah didirikan dibumi selepas Masjidilharam, dan bumi Palestine sebagai bumi para anbiya'.

 

Antara perkara lain yang disentuh adalah doktrin Zionis yang dicetuskan berdasarkan kitab Talmud, iaitu kitab Taurat yang telah diselewengkan yang menghalalkan kekejaman ke atas bangsa lain selain Yahudi. Cita-cita dan hasrat membina Haikal Sulaiman telah mencetuskan perancangan teliti melibatkan penggalian terowong untuk merosakkan Masjidil Aqsa. Bukan setakat itu, malah mereka juga bercita-cita untuk melebarkan empayar sehingga meliputi kawasan di antara Sungai Furat di Iraq dan Sungai Nil di Mesir.

 

Umat Islam seluruh dunia tidak dapat melupakan kemuncak kezaliman puak Yahudi apabila "spiritual leader" kepada gerakan intifada iaitu Syeikh Ahmad Yassin dibunuh dengan kejam di mana tentera Yahudi menggunakan pelancar roket dari helikopter sewaktu beliau bersedia untuk keluar menunaikan solat Suboh. Sebahagian penganalisa menganggap kemenangan Hamas ke atas kumpulan nasionalis Fatah dalam pilihanraya Palestine adalah rentetan pembunuhan tersebut.

Di akhir ceramah, beliau sempat mendeklemasikan sebuah sajak yang merangkumi setiap perkara yang disentuh sepanjang ceramah. Penulis agak terpegun dengan persembahan yang bertenaga dan bersemangat dari penceramah, menggambarkan beliau adalah pakar dalam mendeklemasikan sajak. Diharap setiap yang hadir akan terkesan dengan program ini dan bertekad untuk memberikan sumbangan yang termampu dalam berkongsi perjuangan saudara se Islam di Palestine.

 

SAF2008 Powered by NetMyne