Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota Kuliah

Sejarah Perkembangan Islam Di Nusantara oleh Dr Hafidzi - (Posted: 24 Sep, 2008)    

Program Minda Al-Furqan yang berlangsung pada Sabtu, 20 Ramadhan 1429H (20 Sept, 2008) sejurus selepas solat Suboh memaparkan topik yang menarik, lanjutan dari program yang serupa yang diadakan pada tahun lepas. Proram dipengerusikan oleh Imam Faisal dan ceramah telah disampaikan oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dari UPM. Beliau merupakan lulusan PhD dari Univ of Aberdeen, Scotland, dan aktif sebagai aktivis dalam Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia(JIM). Pernah memegang jawatan Setiausaha Agung JIM (2001-2003), Pengerusi Perhubungan JIM Antarabangsa (2001-2003), dan Naib Presiden (2003~2005).

Program Minda AF dipengerusikan oleh Imam Faisal

 

    Topik yang difokuskan dalam perbincangan kali ini adalah tentang seorang tokoh orientalis Belanda yang terkenal di Indonesia iaitu Christian Snouck Hurgronje (1857-1936). Menerima Phd dari Universti Leiden dengan thesis bertajuk "Perjalanan Haji ke Mekah". Beliau berpura-pura masuk Islam, mengunjungi Mekah dan mendapat kepercayaan umat Islam. Dengan ilmu Islam yang dikagumi sesetengah pihak, beliau pernah dipanggil dengan gelaran "Syeikhul Islam" oleh mereka yang tidak mengetahui motif jahatnya yang semata-mata ingin mendalami dan mencari-cari kelemahan umat Islam.

Antara karya beliau tentang Islam adalah seperti di bawah:(klik untuk lihat teks)

The Project Gutenberg EBook of Mohammedanism, by C. Snouck Hurgronje

Tokoh Orientalis - Christian Snouck Hurgronje

 

    Di atas pengalaman dan pengetahuannya itu, beliau telah ditugaskan sebagai penasihat kepada kerajaan Belanda di Indonesia. Tugas utama yang dijalankannya dalah mencari ruang-ruang untuk melemahkan umat Islam di Acheh khasnya dan di Indonesia amnya. Hasil kajian beliau telah dibentangkan dan dibincangkan dengan detil dalam ceramah ini. Di antara point-point utama yang diketengahkan adalah:

  a) Menghapuskan pengaruh ulama. Ulama yang membawa Islam secara syumul dihapuskan secara terancang sedangkan sebahagian ulama lagi dibenarkan bergerak sebebas-bebasnya dan diberi sokongan pula. Ulama yang menerangkan ibadah secara sempit dan terasing dibenarkan mengajar dan diberikan galakan. Malahan, kerajaan Belanda sendiri membantu umat Islam dalam perlaksanaan ibadah haji dengan menubuhkan badan khas mengendalikan jemaah haji. Konsep agama yang berbentuk sekular diketengahkan di mana ibadah ritual diasingkan dari syariat Islam yang lain samada politik, ekonomi, undang-undang, dan sebagainya.
  b) Cuba mengembalikan ingatan umat Islam kepada tradisi nenek moyang mereka sebelum kedatangan Islam demi menyemarakkan semangat kedaerahan yang sempit. Penekanan ini menghasilkan perpecahan dan semangat kedaerahan yang akhirnya akan menjadikan umat Islam tidak merasa peka atau prihatin dengan saudara se-Islam dari daerah atau bangsa yang berlainan.

Sumbangan kerja yang dilakukan oleh beliau telah banyak membantu melemahkan Acheh sehingga kerajaan Islam di Acheh akhirnya tumbang di tangan emperialis Belanda. Antara kesan peperangan Acheh-Belanda adalah korban nyawa yang tidak sedikit.

 

 

    Semasa sessi soal jawab, beberapa persoalan diketengahkan oleh para hadirin. Antara soalan yang menarik termasuk dilema umat Islam yang semakin lemah, status bumiputera, dan cara terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang melanda umat Islam dewasa ini. Penulis tertarik dengan respon yang diberikan oleh Dr Hafidzi yang mana segalanya menjurus kepada persoalan yang mendasar dalam Islam. Aqidah sebagai tunjang yang perlu dijadikan asas dan diberikan penekanan yang lebih hebat disamping lain-lain usaha perlu juga diteruskan. Dan dakwah adalah kaedah yang asas dan utama yang perlu berjalan berterusan. Islamnya kita hari ini atas usaha dakwah golongan terdahulu, dan kekalnya Islam untuk generasi akan datang adalah dengan usaha dakwah kita hari ini.

    Usaha dakwah perlu diberi kebebasan dan peluang seluas-luasnya. Ulama Islam membincangkan hukum berdakwah samada Fardhu 'Ain atau Fardhu Kifayah. Pendapat popular tentang tugas dakwah sebagai Fardhu Kifayah tampak tidak tepat sekiranya diteliti ayat al-Qur'an tersebut secara keseluruhan yang membayangkan hanya golongan yang berdakwah sahajalah yang akan menjadi golongan yang berjaya. Ini diperkuatkan lagi oleh Surah Al-Asr yang terang-terang menjadikan usaha dakwah sebagai syarat mengelakkan seseorang dari tergolong dalam kelompok manusia yang rugi.

 

    Mengenai persoalan status bumiputera dan ketuanan Melayu, secara ringkasnya, terma-terma ini adalah kabur dan lebih dimanipulasi demi kepentingan pihak-pihak tertentu. Beliau sempat membentangkan fakta sejarah asal-usul kerajaan melayu Melaka. Parameswara pada asalnya hanyalah berstatus ketua kampung atau penghulu. Diancam oleh kerajaan Siam yang terletak di Utara semenanjung tanah Melayu dan wilayah Nusantara dibawah pengaruh kerajaan China dari Dinasti Ming. Dengan menjalinkan hubungan kerajaan China yang merupakan kuasa laut ketika itu, beliau kemudiannya dibawa ke China untuk ditabalkan sebagai Sultan. Warna kuning diraja adalah diwarisi dari Kerajaan China sementara kelengkapan istiadat istana juga dibawa dari China. Laksamana Muhammad Cheng Ho yang beragama Islam memainkan peranan serta pengaruh yang sangat besar dalam memperluaskan pengaruh China ke atas kerajaan di sekitar Nusantara terutamanya kerajaan Islam.

 

   Secara keseluruhannya, program ini sangat berguna dan berkesan untuk mencelikkan umat Islam hari ini tentang hakikat sejarah yang sebenarnya dan betapa pihak imperialis telah berjaya meninggalkan kesan negatif kepada minda masyarakat yang pernah dijajah oleh mereka. Kesinambungan program seperti ini akan diberi perhatian oleh Lajnah Dakwah bagi memberi pendedahan yang berterusan terutama dalam pemurnian sejarah Islam di Nusantara. Pihak penganjur juga cuba mendapatkan nota lengkap dari pihak penceramah untuk dimunafaatkan oleh mereka yang berminat.

 

SAF2008 Powered by NetMyne