Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota KuliahBerita Puncak Alam
MINDA AL-FURQAN: BID'AH DAN KHILAF
 - posted on 25 May, 2009.

Slot Minda al Furqan pada bulan May menyaksikan tetamu khas dari Mesir iaitu Syaikh Muhammad bin Abdul Aziz. Biodata beliau adalah seperti dilampirkan.

Topik yang dibawa oleh beliau agak luas iaitu “Bid’ah dan Khilaf”. Topik yang dijangka panas ini, walaubagaimanapun tidak sempat untuk dijelajahi seluruhnya oleh beliau kerana ianya terlalu luas.

Penulis tidak banyak dapat mengutip point-point yang disampaikan kerana penyampaian yang kurang tersusun. Dari point-point yang disentuh oleh beliau, penulis dapat membuat rumusan bahawa beliau berpegang dengan pendapat ulama yang membahagikan bid’ah kepada dua bahagian iaitu bid’ah hasanah dan bid’ah saiyi’ah. Beliau menyandarkan pendapatnya kepada hadith Nabi SAW yang menyebut tentang sunnah yang baik dan sunnah yang buruk di mana seseorang yang mengasaskan sunnah tersebut akan menerima bahagiannya samada baik atau buruk apabila ianya ditiru oleh orang lain.

Beliau juga berpandangan bahawa tindakan para sahabat r.anhum yang mendahului Nabi SAW di dalam beberapa perkara adalah hujjah bahawa melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Baginda SAW adalah bukan suatu kesalahan. Mengenai hujjah ini, pendapat yang menolak hujjah ini pula berhujjah bahawa tindakan para Sahabat r.anhum tersebut berlaku ketika wahyu masih lagi turun dan perkara tersebut mendapat pengakuan/sokongan dari Nabi SAW, sehingga sebahagiannya bukan sahaja diterima malah menjadi sebahagian dari sunnah yang diamalkan. Bagaimana pula dengan sesuatu yang diasaskan selepas wahyu terhenti dan tidak mendapat sokongan dari Nabi SAW? Perkara ini perlu dirujuk kepada para fuqaha yang layak untuk berijtihad.

Biodata Syaikh Muhammad Bin Abdul Aziz

Syaikh Muhammad bin Abd Aziz adalah merupakan salah seorang panel Majlis Fatwa negara Mesir.  Berusia hanya 32 tahun, beliau adalah merupakan ahli panel fatwa termuda di Mesir. Memiliki ijazah peringkat pertama dari Universiti al-Azhar, beliau juga memiliki dua ijazah master. Pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya bagi peringkat Master, keunikan beliau adalah kerana fasih bertutur dalam Bahasa Melayu menggunakan dialek Kelantan yang dipelajarinya melalui pelajar Malaysia di Mesir dan mengambil masa 9 bulan untuk menguasainya. Beliau pernah menghadiri Muttaqa' ulama di Putrajaya sebelum ini. Beliau sudah pun berumahtangga dengan seorang warga Peranchis pilihan ibunya.

Dalam menghadapi perbezaan pandangan mengenai sesuatu amalan terutama di dalam bidang fiqh, berbagai faktor perlu diambil kira. Seseorang yang ingin mengeluarkan fatwa perlu menilai faktor masa, keadaan, adat setempat ('uruf), tempat, dan sebagainya. Beliau juga menekankan bahawa akhlak perlu diberi keutamaan yang lebih berbanding permasalahan fiqh. Sesuatu perbezaan pendapat perlu ditangani dengan cara yang sangat beradab.

Sebelum memasuki perbincangan mengenai topik ini, Syaikh Muhammad juga mengambil masa yang agak lama untuk menjelaskan muqaddimah bagi tajuk ini. Beliau telah cuba mengamalkan adab dan amanat yang diwarisi dari gurunya.

Semasa sessi soal jawab, beliau telah cuba menjawab persoalan mengenai garis panduan bagi membezakan sesuatu amalan samada ianya bid'ah atau tidak. Berpegang kepada prinsip bahawa bid'ah terbahagi kepada dua, setiap sesuatu yang tidak bercanggah dengan syariat Islam dianggap sebagai bid'ah hasanah yang diterima. Apabila beliau ditanya lagi mengenai penggunaan perkataan 'kullu' di dalam hadith Nabi SAW yang menyatakan setiap (kullu) bid'ah adalah sesat, beliau menegaskan pendapatnya bahawa yang dimaksudkan sebagai kullu bid'ah tersebut adalah bid'ah yang melanggar syarak.

Perbincangan mengenai topik ini mungkin perlu kepada pembentangan dari dua pihak yang berbeza pendapat supaya penilaian yang lebih tepat boleh dibuat dengan membandingkan hujjah-hujjah yang dibentangkan oleh kedua-dua pihak. Bagi penulis yang sudah terbiasa dengan hujjah kedua-dua pihak, berhajat untuk dapat menyaksikan muzakarah yang lebih ilmiah semoga dapat membuat keputusan. Walaubagaimanapun, perbincangan sebegini perlu kepada sikap yang terbuka dan adab yang mulia dimana ukhuwwah di kalangan orang Islam tetap terjaga dan sikap salaing memahami dapat dipupuk.

Whlm.

 

 

Sumber: ruz 09