Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota Kuliah

Program Meraikan Anak Yatim Al-Munirah, Johan Setia - posted on 8 Feb, 2009

Satu program meraikan anak yatim telah berlangsung pada petang 7 Feb (Sabtu) di Zon J. Sekumpulan anak yatim dari rumah anak yatim Al-Munirah, Johan Setia, Klang telah berkunjung ke Puncak Alam untuk diraikan. Sedikit kelainan pada program ini kerana kebiasaannya ahli qariah sering mengadakan jamuan untuk disajikan kepada ahli qariah setempat. Inisiatif kepada program ini adalah kerana keutamaan menjamu golongan yang lebih memerlukan.

Sebuah bas sekolah telah ditempah untuk membawa para pelajar seramai 48 pelajar yang terdiri dari anak yatim dan miskin, sebahagian besarnya masih menuntut di sekolah rendah. Terdapat juga sebahagian yang sedang menuntut di sekolah menengah. Ada bebrapa pelajar wanita yang telah mengambil peperiksaan SPM dan kembali ke pusat tersebut untuk menjalani latihan amali. Ketibaan tetamu program ini sedikit terlewat dari jadual asal di atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sejurus ketibaan, anak-anak yatim tersebut telah mengadakan sedikit persembahan nasyid dan kasidah, beserta tahlil dan doa selamat. Seterusnya, mereka dijamu di bawah khemah yang disediakan. Seronok juga melihat gelagat anak-anak menjamu selera sambil dilayan oleh Pak Cik-Pak Cik yang sibuk menemuramah mereka dengan sedikit sentuhan jenaka untuk menghiburkan mereka. Sambil menjamu selera, kami sempat juga berbual dengan Ustaz yang mengendalikan rumah anak yatim tersebut. Kos penyelenggaraan yang tinggi serta kesukaran mendapatkan dana adalah antara cabaran dalam pengurusan, terutama apabila penaja utama menghadapi krisis kewangan akibat kemelesetan ekonomi.

Pada penghujng program, setiap anak-anak yang hadir telah menerima sedikit cenderahati dari penaja program. Sebelum meninggalkan Puncak Alam, mereka semua sempat singgah di Surau Al Furqan untuk menunaikan solat Asar. Salah seorang adik tersebut telah menawarkan diri untuk melaungkan azan. Selesai solat, para pelajar tersebut terus menaiki bas dan bertolak pulang.

 

 

- Ruz 09 -