|
Lantaran Surau al-Furqan telah
mengosongkan slot pagi Ahad, ia
telah memberi peluang kepada ahli
qariah untuk 'bertebaran di mukabumi'
mencari pengisian di luar kawasan.
Satu lagi program menarik pada
hujung minggu ini. Kali ini,
persatuan Nisa Shah Alam telah
menganjurkan satu 'Talk Show'
bersempena dengan sambutan Hari Ibu.
Tajuk Talk Show tersebut
adalah 'Setitis Air Mata Ibu'. Yang
menarik perhatian penulis ialah ahli
panel yang dijemput terdiri dari
Ustaz Hasrizal Abd Jamil iaitu
pengendali laman sesawang
Saifulislam.com dan seorang tokoh
motivasi wanita yang terkenal di
tanahair iaitu Dr Rubiah K Hamzah.
Program tersebut telah diadakan di
dewan seminar di tingkat bawah
Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz
Shah di Shah Alam, bermula dari jam
9:30 pagi.
|
|
Inilah
kali pertama penulis membawa isteri
menghadiri kursus atau seminar di
luar kawasan Puncak Alam. Setibanya
di Masjid Negeri, kawasan parkir di
sekitar masjid telah sesak dengan
kenderaan. Sangkaan penulis, hebat
sungguh sambutan program kali ini.
Oh, rupa-rupanya ada beberapa
program lain sedang berlangsung di
sana termasuk kursus persediaan
bakal haji dan kursus perkahwinan
kepada bakal pengantin. Riuh rendah
juga kawasan di sekitar ruang bawah
masjid dengan pelbagai aktiviti dan
juga gerai khas yang menjual
barangan.
Apabila memasuki dewan seminar yang
sudah sesak dengan para Muslimat
kebanyakannya dan sedikit Muslimin
di suatu sudut, penulis berjumpa
pula dengan seorang ahli qariah
Puncak Alam. Juga terdapat beberapa
Muslimat dari Puncak Alam yang
menghadiri program tersebut. |
|
Beberapa point yang sempat penulis
catatkan semasa program telah
diringkaskan seperti di bawah:
Di
antara ulasan yang diberikan oleh
Ustaz Hasrizal termasuk:
-
Hadith akhir zaman mengenai
tanda-tanda kedatangan hari
qiamat – salah satu tanda yang
disebut oleh Nabi SAW ialah
apabila perempuan melahirkan
anak-anak yang akan menjadi tuan
kepada mereka. Gambaran akhir
zaman dengan gejala anak yang
derhaka akan menjadi satu
perkara biasa. Proses lahirnya
anak-anak yang derhaka bukanlah
berlaku secara mengejut tetapi
ianya lebih merupakan proses
yang beransur-ansur sehingga
ianya tidak mengejutkan dan
dianggap perkara biasa.
-
Komentar tentang ungkapan Imam
al-Ghazali yang sering disalah
tafsir iaitu tentang perbezaan
di antara lelaki dan wanita
mengenai akal dan nafsu/emosi.
Di antara faktor yang melayakkan
wanita menjadi ibu yang
mengandung anak di dalam
rahimnya selama lebih 9 bulan
adalah kerana emosi dan kasih
sayang serta kesabaran yang
tinggi. Ustaz sempat membuat
andaian sekiranya lelaki dipilih
untuk mengandung, mereka akan
merungut dan tidak akan sanggup
untuk melakukannya untuk kali
ke-2 atau ke-3.
-
Kisah Juraij yang kuat beribadat
sehingga melukakan hati ibunya
kerana tidak menyahut seruan
ibunya yang datang berkunjung ke
rumahnya sebanyak beberapa kali.
Kemarahan ibu dan kemakbulan
doanya telah menyebabkan Juraij
mendapat ujian yang sungguh
berat apabila difitnah melalukan
zina dengan seorang pelacur
sehingga melahirkan anak. Beliau
bagaimanapun diselamatkan
maruahnya apabila Allah swt
mentakdirkan anak yang baru
lahir tersebut dapat
berkata-kata dan menceritakan
perkara sebenarnya.
-
Ayat al-Qur’an dari surah
al-Isra’ mengenai batas derhaka
kepada ibubapa ialah dengan
sebutan ‘uff’. Ustaz Hasrizal
telah membuat kajian mengenai
penggunaan perkataan ‘uff’ dalam
masyarakat Arab. Hasil dari
pemerhatian beliau, ‘uff’ dalam
budaya Arab sama seperti bunyi
‘chtt’ yang biasa digunakan oleh
masyarakat kita di Malaysia yang
menandakan keengganan atau
keluhan.
-
Anak-anak dilahirkan secara
fitrah dan setiap seorang
mempunyai potensi yang sama
tidak kira dari keluarga mana
sekalipun. Ibubapalah yang
mencorakkan mereka menjadi
individu tertentu.
-
Pemerhatian beliau mengenai
perbezaan cara di antara
masyarakat Barat dan Melayu
dalam melayani karenah
anak-anak. Dalam suatu perbualan
yang sempat dirakamkan beliau,
seorang bapa ‘orang putih’
sanggup melayan persoalan demi
persoalan yang diutarakan oleh
anaknya dan memberikan jawapan
yang benar. Lain pula pengalaman
kita di Malaysia yang mana
ibubapa selalu memotong cakap
anak-anak kerana sikap malas
untuk melayan
persoalan-persoalan mereka.
Hasilnya di Barat, anak-anak
yang dilatih berfikir sejak
kecil sebilangannya menemui dan
memeluk Islam. Dan di Negara
kita, ketandusan ilmu dan
kemalasan berfikir menyebabkan
anak-anak muda meninggalkan
agama.
-
Penekanan kepada bentuk-bentuk
nafkah yang wajib diberikan
kepada anak-anak untuk
memastikan keseimbangan dalam
pembentukan sahsiah – nafkah
fizikal seperti makan, pakaian,
tempat tinggal dan sebagainya,
nafkah akal iaitu ilmu fardhu
‘ain dan fardhu kifayah, dan
nafkah emosi iaitu kasih-sayang
yang ikhlas.
-
Berilah masa dan ruang kepada
anak-anak untuk mengutarakan
pendapat mereka dan ibubapa
memberi perhatian untuk
mendengarnya.
-
Sebelum anak-anak menjadi
penderhaka, hakikatnya,
ibubapalah yang telah lebih
dahulu menderhakai anak-anak
mereka. Betapa ramai ibubapa
yang kononnya sayang kepada
anak-anak mereka tetapi
hakikatnya menyediakan mereka
untuk dibakar di dalam api
neraka.
-
Anak-anak walaupun sekiranya
tidak dapat mengasihi ibubapa
mereka atas faktor-faktor
tertentu, mereka masih wajib
menjaga kebajikan mereka
terutama semasa mereka di usia
tua dan menghormati dan mentaati
mereka kerana itu adalah
tuntutan agama.
Sementara Dr Rubiah pula menerangkan
beberapa point dengan cara
penyampaian yang menarik.
-
Pertamanya beliau memberi
komentar mengenai sambutan Hari
Ibu. Secara peribadi, beliau
tidak bersetuju Hari Ibu
disambut sepertimana yang dibuat
oleh masyarakat Islam hari ini
kerana asal-usul Hari Ibu adalah
dari amalan masyarakat Kristian
iaitu sambutan hari 'Mother
Mary' atau 'Tuhan Ibu'. Walaupun
pengisian yang dibuat adalah
baik dan menepati syarak,
‘bekas’ yang digunakan tetap
bukan berasal dari Islam. Ini
adalah satu dakyah Kristian
untuk membuat masyarakat Islam
terikut-ikut dengan budaya
mereka, dan mereka gembira
walaupun ianya tidak 100% sama
seperti apa yang mereka lakukan.
-
Ibu perlu mendidik anak supaya
taat kepada Allah swt terlebih
dahulu sebelum mentaati ibu.
Anak-anak perlu dididik menjadi
hamba Allah yang sebenarnya.
Merasai Allah swt sangat dekat
dengan diri kita dapat mengawal
diri kita bukan sahaja di dalam
solat tetapi pada setiap masa.
-
Selain dari tiga nafkah yang
telah disebutkan oleh Ustaz
Hasrizal, Dr Rubiah menambah
satu lagi jenis nafkah yang
perlu diberikan oleh ibubapa
iaitu nafkah rohani.
-
Dr
Rubiah menekankan tiga persoalan
yang perlu sentiasa difikirkan
oleh setiap individu:
-
What do I think? Atau apa
yang aku fikirkan sekarang?
Umat Islam perlu sentiasa
berfikir dan berfikiran
positif. Melihat situasi
sekeliling dan mencari-cari
kesalahan orang lain tidak
akan membawa sebarang
kebaikan. Apa yang perlu
difikirkan ialah apakah
sumbangan yang dapat kita
lakukan untuk memperbaiki
keadaan.
-
How do I feel? Atau apakah
perasaan saya? Selain
berfikiran positif, kita
juga perlu berperasaan
positif.
-
Who am I? Atau siapa saya.
Menyedari hakikat diri
sebagai hamba Allah kita
perlu melihat manusia lain
sebagai hamba Allah, dan
tugas kita adalah
menyampaikan dan menasihati
dengan ikhlas.
-
Dalam menjawab persoalan dari
hadirin mengenai perbezaan di
antara nasihat dan leteran,
beliau menekankan bahawa leteran
datang dari emosi. Nasihat perlu
datang dari hati yang ikhlas.
Beliau memberi beberapa contoh
teguran atau nasihat yang ikhlas,
selalunya dilakukan dalam nada
suara yang rendah tetapi menusuk
ke hati pendengarnya. Penggunaan
suara yang tinggi/lantang tidak
semestinya mendatangkan apa-apa
hasil yang diharapkan.
-
Dalam memberi respon kepada
komentar dari seorang ibu
tunggal mengenai permasalahan
anak-anak lelaki, Dr Rubiah
menegaskan bahawa masalah hari
ini dihadapi oleh kedua-dua
jantina berdasarkan kepada
pengalaman beliau mengendalikan
sesi kauseling.
-
Beliau juga sempat membawa
contoh di mana ibubapa tidak
seharusya memberi layanan yang
berbeza kepada anak-anak, dan
jangan sekali-kali melabelkan
mereka. Dalam satu kisah benar
yang melibatkan keluarga yang
kesemua anaknya berpelajaran
tinggi kecuali seorang adik yang
tercicir. Ibubapa it dengan
mudah melabelkan anak yang
tercicir tersebut sebagai ‘tidak
menjadi’. Abang dan kakak lain
yang berpangkat besar akhirnya
sering tiada masa untuk
menziarahi ibubapa hatta apabila
mereka sakit sekalipun. Adik
yang ‘tidak menjadi’ itulah yang
bekerja sebagai pemandu teksi,
yang kerap menjadikan teksinya
sebagai kenderaan untuk membawa
ibubapa yang uzur untuk mendapat
rawatan sehinggalah keduanya
meninggal dunia, dan akhirnya
dikebumikan tanpa menanti
kepulangan abang-abang dan
kakak-kakak. Apalah faedahnya
mereka datang untuk melihat
mayat sedangkan mereka tiada
masa untuk menziarahi ibubapa
mereka sewaktu mereka masih
hidup.
-
Dari segi teorinya, masyarakat
Barat telah mendidik anak-anak
mereka menjadi manusia yang
serba lengkap tetapi akhirnya
mereka menjadi golongan yang
mengabaikan kebajikan ibubapa
mereka apabila tua. Ketandusan
pendekatan kerohanian dan
hubungan dengan Allah swt adalah
diantara punca utama kepada
permasalahan ini.
YB
Khalid Samad yang merupakan Ahli
Parlimen Shah Alam sempat tiba di
lokasi lebih kurang 20 minit sebelum
pogram berakhir. Beliau sempat
menjadi mangsa ceramah Dr Rubiah
kerana datang seorang diri tanpa
membawa isteri. Penutup majlis
dilakukan oleh Ustaz Hasrizal dengan
bacaan doa yang dibaca dalam
dwibahasa.
Secara
keseluruhan, Ustaz Hasrizal cuba
sebanyak mungkin berkongsi
pengalamannya semasa bertugas di
luar negara dan semasa mengendalikan
program-program motivasi remaja.
Penyampaian beliau cukup bertenaga,
menggunakan sentuhan yang lembut,
dengan diselitkan sedikit senda
gurau, walaubagaimanapun beliau
masih belum dapat menyamai prestasi
penyampaian Dr Rubiah yang jelas
sudah banyak pengalaman. Dr Rubiah
yang terbiasa dengan penyampain yang
lantang dan bersahaja, sindiran
keras, dengan sketsa-sketsa yang
hidup dilihat lebih banyak mencuri
perhatian pendengar. Penulis tidak
sempat untuk mencatitkan sebahagian
point-point dari Dr Rubiah kerana
terlalu leka dengan ‘persembahan’
dari beliau yang sangat bersahaja.
Pada hemah penulis, Dr Rubiah lebih
sesuai untuk mengendalikan program
sebegini secara solo kerana sukar
untuk menggandingkan beliau dengan
mana-mana panelis sehingga kelihatan
menenggelamkan rakan ahli panelnya.
Whlm.
-
Ruz885 - |