Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota KuliahBerita Puncak Alam
Program Kemantapan AJK Bersama Ustaz Hasrizal - posted 11 Ogos, 2009

Program khas untuk AJK Surau Al-Furqan bersama Ustaz Hasrizal di Masjid Negeri, Shah Alam.

Setelah tertangguh selama lebih dua bulan, program tahunan AJK Surau Al-Furqan akhirnya berjaya diadakan pada Ahad lepas, bersamaan 9 Ogos 2009. Program ini terpaksa ditunda dari tarikh asalnya kerana terdapat sedikit kesulitan. Isteri kepada Ustaz Hasrizal telah selamat melahirkan bayi ke-4 pada pertengahan bulan Julai yang lalu. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana semuanya telah selamat. Juga, termasuklah program yang dirancang juga telah berjalan dengan lancar.

Dari segi pilihan venue program, pendekatan penganjuran kali ini mengambil kira keselesaan suasana dan konsentrasi peserta. Bilik kuliah di Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah di Shah Alam dirasakan dapat memberi lebih keselesaan dan menghasilkan impak yang positif. Program telah bermula lebih kurang 15 minit lebih lewat dari jadual asalnya disebabkan sedikit kekeliruan yang berlaku tentang bilik kuliah dan masa yang diambil untuk menyusun kelengkapan.

Perbincangan yang diadakan mencakupi tiga skop berikut iaitu:

  1. Dakwah Itu Fitrah (Anjakan Paradigma Tentang Dakwah)

  2. 7 Tabiat Pendakwah Cemerlang

  3. Penjenamaan Semula Imarah Masjid dan Dakwah

 

Sesi pagi diisikan dengan Modul 1 dan 2. Disebabkan banyak persoalan-persoalan yang diajukan oleh para peserta, Modul 1 dan 2 telah mengambil masa yang lebih panjang dari yang dirancang. Slide yang dibentangkan semasa program akan di uploadkan ke website al-Furqan dalam masa terdekat bagi munafaat kepada sesiapa yang berminat.

Sepanjang perjalanan program, penulis sangat tertarik kepada perkongsian pengalaman-pengalaman peribadi Ustaz Hasrizal samada semasa bertugas di Masjid Belfast di Ireland Utara, atau semasa bertujas sebagai kaunselor di IJN, atau sebagai pendakwah bebas. Mungkin masyarakat di Puncak Alam belum lagi terdedah dengan suasana manusia yang mencabar, pengalaman Ustaz Hasrizal sedikit sebanyak dapat membuka mata tentang hakikat dan cabaran yang perlu dihadapi oleh para pendakwah pada hari ini. Kalau di tahun-tahun 70-an dan 80-an, cabaran ekonomi adalah besar, tetapi pada hari ini, cabaran aqidah dan serangan pemikiran ke atas remaja dan muda-mudi adalah lebih meruncing.

Di dalam Modul 2, Ustaz Hasrizal telah berkongsi hasil kajiannya tentang konsep 7 Habits yang diperkenalkan oleh Stephen Covey, tetapi melihatnya dari perspektif Islam. Penjelasan telah diberikan satu persatu bagi memastikan ianya jelas dan difahami. Selitan pengalaman beliau sendiri dalam dakwah dan kaunseling memberikan impak yang lebih berbanding sekiranya perbincangan sekadar teori atau berkongsi pengalaman orang lain.

Oleh kerana masa yang tidak mengizinkan, Modul 3 hanya dapat dibincangkan secara ringkas. Di dalam Modul ini, Ustaz telah memberikan beberapa saranan bagi penjenamaan semula surau dan masjid sebagai institusi dakwah dalam sesebuah masyarakat. Penekanan telah diberikan kepada kaedah untuk memberi ruang kepada golongan ‘minoriti’. Diharap para peserta akan dapat meneliti slide yang disediakan oleh ustaz apabila ia sudah di-upload ke website ini nanti.

Secara keseluruhan, pada hemat penulis, program tahun ini telah berjaya sedikit sebanyak mengisi beberapa ruang sebagai peningkatan kepada para AJK dari segi persediaan untuk menjadi pendakwah/kaunselor yang berkesan kepada masyarakat sekeliling. Mungkin pada program akan datang, ciri-ciri yang lain pula akan diberikan penekanan dalam meningkatkan prestasi para AJK. Dari segi kehadiran pula, kualiti kehadiran kali ini adalah memuaskan walaupun dari segi kuantiti, masih ada ruang untuk peningkatan.

Kepada yang berminat untuk mendalami fikrah Ustaz Hasrizal atau menjelajahi pengalaman beliau, bolehlah lawat blog beliau di http://saifulislam.com di mana di sana ada ratusan artikel tulisan beliau tentang berbagai topik yang mungkin dapat memberi munafaat.

-ruz885-