Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota Kuliah
     
 
Majlis Taklimat Bersama Exco Kebajikan dan Hal-Ehwal Wanita- Posted 14  Okt, 2008
 Laporan oleh: Puan Raja Sarimah
 
   

Surau Al-Furqan Fasa 2, Puncak Alam telah menganjurkan satu majlis taklimat khas untuk ibu-ibu tunggal, golongn OKU, dan Kebajikan Wanita pada hari Sabtu yang lalu bersamaan 11 Oktober, 2008 bertempat di Balai Masyarakat Fasa 2, Bandar Puncak Alam.

Tujuan majlis itu diadakan adalah untuk meraikan golongan ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya bersempena dengan jamuan Hari Raya di samping mengadakan satu taklimat khas yang telah disampaikan oleh Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Sains & Teknologi Dan Innovasi Serta Kebudayaan iaitu YB Puan Rodziah bte Ismail.

Tetamu khas diiringi wakil dari Surau Al-Furqan

Di dalam taklimat tersebut , YB Rodziah telah menyentuh beberapa perkara seperti

  1. Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS)

Di bawah skim ini, setiap anak yang dilahirkan di Selangor mulai 1 Januari 2008 akan diberi RM100 melalui pelaburan dan anak-anak ini bakal dilindungi insurans sehingga berusia 18 tahun, dan pada usia 18 tahun, anak-anak ini berpeluang menerima RM1500 seorang hasil caruman di dalam pelaburan dana ini.

  1. Caruman Takaful & Perubatan Percuma Kepada Warga Emas

Setiap warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan telah bermastautin sekurang-kurangnya 18 tahun di negeri Selangor layak mendapat perlindungan Takaful bernilai RM3500. Pecahan nilai tersebut akan diberikan sebanyak RM1000 sebagai sara hidup, RM1000 lagi sebagai pengurusan jenazah dalam masa 24 jam selepas kematian, dan baki RM1500 diserahkan kepada waris selepas tempoh satu bulan selepas kematian.

  1. Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC)

Pusat ini merupakan khidmat pembelaan terhadap wanita dan kanak-kanak yang teraniaya akibat masalah gangguan dan penderaan seksual serta keganasan rumahtangga.. Khidmat percuma OSCC seperti nasihat guaman dan perlindugan polis ini telah sedia wujud di beberapa hospital kerajaan seperti Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Sg. Buloh, Hospital Serdang, Hospital Ampang, dan Hospital Kajang.

  1. Bantuan Geran Perniagaan kepada ibu tunggal secara individu berjumlah RM5000.

Bagi golongan ibu tunggal yang ingin menjalankan perniagaan kecil-kecilan, bantuan dalam bentuk geran perniagaan disediakan oleh kerajaan negeri . Butir permohonan tersebut boleh didapati di SUK atau dapatkan maklumat lanjut di laman web Kerajaan Negeri Selangor.

Portal Kerajaan Negeri Selangor: http://www.selangor.gov.my/main.php

Portal Informasi Ibu Tunggal Selangor: http://e-bu.selangor.gov.my/pages.php

  1. Bantuan IKS Secara Berkelompok

Bagi golongan yang ingin memulakan industri kecil seperti projek ternakan kambing dan projek cendawan, sebelum ia boleh dikomersilkan, kerajaan negeri ada menyediakan sumber bantuan secara berkelompok.

Aspek yang disentuh oleh YB di atas sangat dinanti-nantikan oleh golongan ibu tunggal dan wanita sekitar Bandar Puncak Alam kerana perkara tersebut ada kaitannya dengan masalah dan keperluan mereka.

Selepas majlis taklimat oleh yang Berhormat, majlis diteruskan dengan sessi soal jawab sehingga jam 4:30 petang. Beberapa soalan telah dikemukakan oleh hadirin untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan bantuan yang disediakan oleh kerajan negeri. Sehingag jam 5:30 petang, YB masih lagi melayani pertanyaan dari para hadirin.

Kesimpulannya, majlis yang dianjurkan oleh Surau Al-Furqan tersebut telah mendapat pujian dan ucapan tahniah dari para hadirin yang turut serta kerana berjaya menyampaikan mesej kerajaan negeri kepada golongan kurang bernasib baik dalam bentuk bantuan dan perkhidmatan nasihat bagi permasalahan yang dihadapi oleh golongan tersebut.

Akhir kata, Alhamdulillah syukur kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpah rahmatNya, majlis tersebut telah berjaya diadakan. Semoga taklimat-taklimat khas seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan dating. Penganjur juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Exco Kebajikan yang hadir iaitu YB Rodziah Ismail dan beberapa wakilnya yang sudi meluangkan masa dan tenaga untuk menyampaikan taklimat kebajikan untuk ibu tunggal dan lain-lain di Puncak Alam yang amat memerlukannya. --Sekian--