Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota Kuliah
     
 
Program Skim Bantuan Kebajikan Kepada Ahli Qariah Fasa 2
Laporan hasil temuduga dengan Sdr Hj Mohd Uzir
 
   

Salah satu misi utama pembentukan Lajnah Kebajikan dan Rekreasi Surau Al-Furqan adalah untuk menjaga kebajikan ahli qariah terutama yang memerlukan bantuan. Walaupun sumbangan yang diberikan samada tenaga ataupun kewangan adalah terhad dan bergantung kepada tenaga sukarelawan dan sumbangan ikhlas dari ahli qariah, lajnah ini telah menggariskan beberapa program sumbangan yang dikira dapat meringankan sebahagian, kalaupun bukan sepenuhnya, beban yang dipikul oleh golongan yang memerlukan.

Berikutan itu, pada hari Sabtu bersamaan 10 Januari 2009 yang lalu, selepas selesai menunaikan solat Asar, program penyerahan sumbangan telah dilakukan oleh rombongan dari surau yang berkunjung ke rumah-rumah penghuni yang layak untuk menerima sumbangan. Beberapa orang wakil surau telah terlibat dalam proses tersebut yang terdiri dari para imam dan bilal dan beberapa ahli jawatankuasa surau.

Para delegasi menyampaikan sumbangan.

Rombongan kunjungan pada petang itu telah berpecah kepada empat kumpulan memandangkan jumlah rumah yang perlu dilawati agak banyak. Sebanyak 35 keluarga telah menerima kunjungan dan sumbangan yang berjumlah di antara RM150 ~ RM300 setiap keluarga bergantung kepada tanggungan kewangan masing-masing. Jumlah sumbangan yang telah diberikan pada hari tersebut berjumlah RM6,500 kesemuanya.

Pada tahun-tahun sebelumnya, program lawatan dan sumbangan kepada anak yatim di rumah anak yatim di luar kawasan telah di buat pada bulan Ramadhan sebagai persediaan menyambut Syawal. Usaha-usaha membantu golongan ibu tunggal membina keupayaan ekonomi juga telah berjalan sebelum ini. Bagi program kali ini, fokus telah diberikan kepada golongan yang memerlukan sumbangan bagi membantu sara persekolahan anak-anak mereka di KAFA.

Sebelum proses penyerahan dibuat, sebuah komiti telah ditugaskan untuk mengumpul senarai nama dan maklumat ahli qariah yang layak menerima sumbangan. Senarai utamanya adalah terdiri dari keluarga yang tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama (KAFA), diikuti oleh golongan ibu tunggal, dan golongan kurang upaya. Seterusnya wakil surau ditugaskan untuk bertemu mereka yang tersenarai ini untuk memastikan status kelayakan mereka dan kesediaan mereka menerima sumbangan. Selepas dikenal pasti taraf kelayakan mereka, barulah mereka disenaraikan sebagai layak untuk menerima sumbangan.

Jumlah sumbangan adalah bergantung kepada kemampuan kewangan surau sendiri. Seperti yang telah diputuskan di dalam Mesyuarat Agung yang lepas, sebanyak 30% dari wang kutipan di zon-zon akan diperuntukkan sebagai sumbangan kebajikan kepada senarai penerima yang layak. Oleh sebab itu, kesediaan ahli qariah menghulurkan sumbangan melalui wakil-wakil zon mereka akan menentukan jumlah sumbangan yang boleh diberikan kepada masyarakat yang memerlukan. Tahap keperihatinan di kalangan ahli qariah adalah penting untuk menjayakan program ini.

Selain itu, pihak ahli jawatankuasa surau juga mengalu-alukan bantuan ahli qariah untuk menyampaikan maklumat tentang ahli qariah yang memerlukan bantuan. Maklumat mengenai mereka boleh diberikan kepada wakil lajnah kebajikan (Hj Mohd Uzir bin Hussin, H/P# 019-400 2747) untuk tindakan selanjutnya.

 Terima kasih dan Wallahu a’lam.