Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota Kuliah
     
 
Malam Kesenian Islam- Posted 22 Nov, 2008
 
 

Program berunsur hiburan ini telah dianjurkan buat julung-julung kalinya. Objektif utamanya adalah menghidangkan hiburan yang mengandungi unsur-unsur positif yang dibenarkan oleh Islam terutama kepada golonga remaja dan kanak-kanak.

Memandangkan dunia hari ini di mana hiburan dihidangkan tanpa batasan, remaja perlu diberi pendedahan dan panduan mengenai tahapan hiburan yang dibenarkan oleh Islam. Selain dari memberi ketenangan jiwa dan kepuasan telinga, hiburan dalam Islam perlu mengandungi nilai-nilai positif seperti nasihat, peringatan, panduan, dan sebagainya.

Kumpulan Zameel membuat persembahan.

 

Program ini dianjurkan bersempena dengan program meraikan peserta berkhitan beramai-ramai beserta ahli keluarga dan seluruh ahli qariah. Program ini bermula sejurus selepas solat Isya'; sementara para hadirin menjamu selera, mereka juga dihidangkan dengan berbagai jenis hiburan.

Pengacara jemputan ialah Ustaz Amaluddin, salah seorang penceramah tetap di Surau Al-Furqan. Program dimulakan dengan acara tilawah al-Qur'an oleh adik kecil berusia 5 tahun, anak salah seorang imam Surau al-Furqan. Beliau telah memperdengarkan Surah Ar-Rahman.

 

Adik Syafiq bersama rakan-rakan menghiburkan para hadirin dengan qasidah dan nasyid

Seterusnya, program diteruskan dengan dendangan nasyid dan qasidah oleh sekumpulan remaja dikalangan pelajar sekolah menengah agama dari Kuala Selangor yang diketuai oleh adik Syafiq Izzany. Persembahan mereka diiringi oleh alat-alat percussion.

Majlis diteruskan dengan dendangan beberapa nasyid oleh Ustaz Amaluddin sendiri. Beliau yang merupakan bekas anggota kumpulan nasyid Raihan yang terkenal di tanahair. Beliau masih bergerak aktif dalam dunia seni. Rakaman nasyid, qasidah, wirid dan sebagainya kerap ke udara di Radio IKIM.

Persembahan berikutnya merupakan acara menyampaikan cerita oleh seorang adik berusia 5 tahun, anak kepada saudara Zulraimi. Beliau adalah pelajar Pasti Little Ikhwan yang telah tersenarai dalam tempat ke-3 terbaik bagi PASTI dari seluruh negeri Selangor. Cerita "favorite" nya adalah kisah Nabi Yunus a.s. yang telah ditelan ikan Nun (paus). Sebagai penghargaan, beliau telah dipilih sebagai peserta pertama untuk dikhitankan pada keesokan harinya.

Seterusnya, sekumpulan pelajar dari KAFA Fasa 2 telah memperdengarkan beberapa nasyid. Vokalis utama kumpulan ini adalah seorang pelajar lelaki. Kumpulan ini disertai oleh lima orang vokalis beserta tiga orang pemain alat-alat muzik percussion. Bakat yang terasah disamping pengalaman menerima undangan membuat persembahan pada beberapa program di sekitar kawasan Puncak Alam telah sedikit sebanyak memantapkan persembahan mereka.

Pelajar KAFA Fasa 2 mempamerkan bakat mereka.

Kumpulan undangan utama iaitu Kumpulan Zameel mengambil tempat pada 20~30 minit terakhir telah mendendangkan beberapa lagu. Kumpulan ini dibimbing oleh Ustaz Amal sendiri. Selepas mendendangkan beberapa lagu, Ustaz Amal naik ke pentas untuk bersama-sama menyertai Kumpulan Zameel dalam beberapa persembahan lagu yang seterusnya. Antara lagu yang menyentuh perasaan adalah lagu "Ayah dan Ibu" yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman.

Bermodalkan pentas yang sangat "simple", program Malam Kesenian Islam akhirnya berjaya juga dianjurkan setelah beberapa kali tertangguh. Mungkin pada masa akan datang, program sebegini boleh dibuat di kawasan yang lebih lapang seperti di padang atau dewan orang ramai untuk mendapat liputan dan sambutan yang lebih meluas.

Program percubaan ini perlu dinilai dari segi keberkesanannya dalam mencapai objektif yang disasarkan. Penulis menganggap ianya adalah satu dari cabang dakwah untuk menarik masyarakat umum mendekati institusi masjid/surau dan melihat tentang keluasan dan keindahan Islam yang sesuai dengan fitrah manusia. Selain dari jamuan makanan yang sering dibuat di surau, pengisian dalam bentuk hiburan yang dibenarkan oleh Islam perlu juga dipertonjolkan, dan ianya bukan sebahagian dari pembaziran sekiranya dianjurkan dengan sekadarnya. Wallahu a'lam.

 --Sekian--