Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota Kuliah

Gotong Royong Perdana 2009   (posted 12 Jan, 2009)       

Gotong royong yang pertama kali diadakan pada tahun ini (2009) telah berlangsung pada pagi Ahad, 11 Januari yang lepas. 'Gotong Royong Perdana' ini merangkumi kesemua aspek kebersihan samada dewan solat, tandas, kolam wudhu', kawasan persekitaran, dan termasuk juga longkang. Selain dari memastikan persekitaran yang bersih dan teratur, kerja-kerja pembersihan ini juga adalah untuk menghapuskan sebarang tempat yang boleh menjadi sarang pembiakan nyamuk berbahaya seperti Aedes dan sebagainya.

Bagi memastikan segalanya dapat dilaksanakan sesempurna mungkin, bantuan dari pihak bomba dan Majlis Daerah telah diminta. Dengan bantuan dari pihak bomba, longkang di sekeliling bangunan telah dapat dibersihkan, termasuklah juga tangki septik. Bantuan dari Majlis Daerah diperlukan bagi menyediakan lori untuk mengangkut sampah sarap terutamanya bahan buangan yang besar dan sukar untuk dilupuskan.

Unit penyembur racun juga telah dikerah untuk menyembur ke kawasan tertentu untuk melambatkan pertumbuhan lalang terutamanya. Sementara unit pembersihan dalaman dikerah untuk membersihkan habuk dan sawang yang bersangkutan di siling, kipas, dan sebagainya. Seperti biasa, karpet dewan solat perlu divakuum.

Sebelum kolam wudhu' dikeringkan untuk dibersihkan, anak-anak Al-Furqan telah diberi peluang untuk berendam sepuas-puasnya. Kalau selama ini, mereka hanya dapat melihat sahaja kolam yang bergenang airnya, kali ini mereka tidak melepaskan peluang untuk terjun kedalamnya.

Seperti biasa, tiada aktiviti Al-Furqan tanpa jamuan. Para sukarelawan telah dijamu dengan hidangan ringan sementara unit "catering" sibuk menyediakan hidangan istimewa. Kaum ibu bergotong-royong menyediakan bahan sementara golongan lelaki pula berhempas pulas 'mengacau' di dapur. Hidangan istimewa kali ini adalah bubur lambuk 'Muharram' dan bubur Asyuura (orang Kelantan panggil Syura). Walaupun ia dipanggil bubur, tapi ia lebih kelihatan seperti kuih pudding warna kelabu.

Para pengunjung surau telah menjamu bubur lambuk sepanjang hari; tetapi hidangan bubur Asyuura hanya dihidangkan selepas selesai kuliah Maghrib dan solat Isya'.

Pihak pengurusan surau ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat dan terutamanya juga kepada pihak Bomba dan Majlis Daerah yang telah menghulurkan bantuan. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas sumbangan yang telah antum berikan.

Disertakan gambar-gambar yang sempat diambil oleh jurukamera separa professional, merangkap imam surau.

Ahli bomba membersihkan longkang.

 

Pagi tadi takde acara jogging, tapi dah diganti dengan acara sapu sampah.

 

Takkan sampai dua orang nak pegang satu hos?

 

Yang ni nak bakar jugak ke? Mungkin itu yang sedang dibincangkan ..

 

Setiap dua orang pekerja, ada satu Mandor yang mengawasi.

 

Muat lagi tak? Lori MDKS sedang memunggah ala Kassim Baba.

 

Kau kata tadi, kolam saiz Olimpik. Apasal satu kali kuak dan sampai?

 

Air dah kering, apa tunggu lagi. Cucilah!!

 

Pakar penjolok buah kelapa sedang mencuba skill menjolok sawang.

 

Patutlah selama ni berbau semacam je.. Kat sini rupanya..

 

Selesai sahaja kaum ibu menyediakan bahan-bahannya.... Pak Imam pula menduga kudratnya...Aiik, kacau bubur pun boleh senyum.?

- ruzz09 -