Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota KuliahBerita Puncak Alam
Forum Perdana Ad-Deen: "Cinta Dunia, Cinta Akhirat" - posted 26 November, 2009

Para ahli panel yang terdiri dari Ustaz Ghazali Omar dan Ustaz Abdul Halim Din beserta moderator Ustaz Mohd Faryzan sebagai moderator.

Satu program khas anjuran bersama Surau al-Furqan dan Lembaga Zakat Selangor telah berlangsung pada hari Sabtu, 21 November yang lalu, sejurus selepas solat Isya’. Program yang bertemakan “Forum Perdana Ad-Din” adalah merupakan program kerjasama yang pertama bagi kedua-dua pihak.  Tajuk yang menjadi perbincangan pada forum ini adalah “Cinta Dunia, Cinta Akhirat”. Ahli panel undangan adalah terdiri dari Ustaz Ghazali Omar yang merupakan penceramah tetap di Surau al-Furqan dan Ustaz Abdul Halim Din dari Unit Dakwah,  Lembaga Zakat Selangor. Program telah di kendalikan oleh Ustaz Mohd Faryzan Subki dari LZS. Sebelum program bermula, hadirin telah dihiburkan oleh kumpulan nasyid MARWAN dengan beberapa buah lagu. 

Di antara perkara yang dibincangkan oleh ahli panel adalah termasuk:

1.      Amaran Rasulullah SAW tentang bahana ‘Cinta Dunia’ yang termaktub di dalam sebuah hadith Baginda SAW yang mahsyur tentang umat Islam diratah oleh musuh-musuhnya kerana ditimpa penyakit ‘wahan’ iaitu cintakan dunia dan takut mati.

2.      Akibat cintakan dunia dan syahwat, manusia menjadi buta dan pekak sehinggakan keadaan yang tidak selesa dan sempit serta bunyi bising seperti di kelab-kelab dangdut terus menjadi tarikan pengujung.

3.      Rasulullah SAW telah memberikan garis panduan tentang syarat keimanan iaitu seseorang mesti cintakan diri Rasulullah SAW melebihi cintanya kepada dirinya sendiri dan manusia lain keseluruhannya.

4.      Untuk mencintai sesuatu atau sesorang, ia terlebih dahulu perlu dikenali dan ini memerlukan ilmu. Untuk mencintai Allah, perlu mengenalinya melalui pengajian tauhid. Dan untuk mencintai Rasulullah SAW, perlu juga mengenali peribadi Baginda SAW serta perjuangannya dalam memastikan mesej Islam sampai kepada umat yang kemudian.

5.      Berdampingan dengan golongan ulama dan orang soleh dapat mempengaruhi seseorang secara positif dalam mendidik diri dalam mengimbangi cinta dunia dan akhirat.

6.      Perkataan ‘dunia’ dan ‘akhirat’ disebut sama banyak di dalam al-Qur’an seolah membayangkan perlunya ada keseimbangan. Al-Qur’an juga mengingatkan kita supaya bersungguh-sungguh dalam mengejar kehidupan akhirat disamping tidak melupakan kehidupan di dunia.

7.      Pemilihan Nabi Muhammad SAW oleh Michael Hart sebagai tokoh nombor satu paling berpengaruh dalam dunia melambangkan pengiktirafan tentang sumbangan Baginda SAW dalam pembentukan tamadun manusia. Antara kriteria yang diambil kira adalah kejayaan baginda  dalam dua kategori iaitu dalam mengembangkan agama dan dalam pemerintahan.

8.      Kaedah untuk melahirkan cinta kepada akhirat memerlukan seseorang untuk kerap mengingatinya. Antara yang dapat membantu adalah amalan membaca al-Quran.

9.      Mengamalkan kaedah B-E-R-K-A-T untuk menyuburkan cinta akhirat.

·        B: Beri. Memberi ada kelebihan berbanding menerima.

·        E: Eratkan hubungan silaturrahmi.

·        R: Redha dengan syariat dan hukum Allah

·        K: Kebajikan dengan harta dan tenaga.

·        A: Amal soleh

·        T: Takwa

10.  Perintah mengeluarkan zakat dan infaq adalah perintah ke atas orang yang beriman. Dalam mematuhi perintah syariat, iman mesti diletakkan di atas melangkaui akal. Ujian keimanan yang lebih kuat telah dikenakan ke atas para anbia seperti mana Nabi Nuh a.s. dalam suruhan membina kapal, Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dalam arahan korban, dan nabi Muhammad SAW beserta para sahabat r.anhum dalam pensyariatan hijrah.

 

- Ruz885 -