Laman UtamaMengenai KamiLajnahAktiviti Galeri FotoMinda Al-FurqanNota KuliahBerita Puncak Alam
Program PIBG SKPA(2): Ceramah oleh Nik Nur Madihah  - posted 21 Jun, 2009

    

Gambar Kiri: Rumah usang yang pernah di diami oleh keluarga Nik Mohd Kamal.   Gambar Kanan: Adik Nik Nur Madihah memberi ceramah motivasi kepada murid-murid Tahun 5 dan 6 SKPA(2).

Intro

Seminggu sebelum mengadakan karnivalnya, PIBG SKPA(2) telah berjaya menganjurkan satu program khas untuk memotivasi para pelajar terutama calon-calon UPSR 2009. Program yang berlangsung pada malam Sabtu, 20 Jun 2009 mendapat sambutan hangat dari pelajar Tahun 5 dan 6 SKPA2 beserta ahli keluarga masing-masing, dan juga para pelajar sekolah menengah yang bakal mengambil peperiksaan seperti PMR dan SPM. Berlangsung di Dewan Gemilang SKPA2, program yang dijadualkan bermula pada jam 8 malam telah tertangguh hampir satu jam disebabkan masalah jadual program yang ketat pada hari tersebut. Para hadirin yang mula sampai sebelum jam 8 malam telah memenuhi ruang dewan dan kawasan khemah yang disediakan.

Sejurus selepas ketibaan tetamu undangan, program dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Azman Mohammad diikuti oleh ucapan ringkas dari Guru Besar Encik Azhar dan Yang Dipertua PIBG, Encik Rosyam. Majlis juga tidak berlengah lagi untuk menyerahkan mikrofon kepada Adik Nik Nor Madihah memulakan sessi ceramahnya.

Seperti seorang yang sudah terlatih untuk berucap dihadapan hadirin yang ramai, adik Nik Nor Madihah lebih gemar untuk turun ke bawah untuk menghampiri para hadirin dan berceramah sambil berdiri di tengah-tengah mereka. Secara spontan ia mengikis persepsi pelajar cemerlang dalam peperiksaan kurang kemampuan dalam berinteraksi dengan orang ramai atau berkapasiti untuk memimpin.

 

Dua Rahsia Kejayaan

Adik Nik Nur Madihah menyentuh tentang dua faktor penting yang ditekankan oleh beliau dalam menempuh kehidupan sebagai pelajar:

  1. Hablum minAllah – iaitu menjaga hubungan yang padu di antara seorang hamba dengan Maha Pencipta. Beliau  menekankan kepentingan memelihara solat fardhu yang lima. Umum juga sudah dikhabarkan melalui media sebelum ini bahawa beliau juga seorang yang tekun melakukan solat tahajjud. Beliau sempat secara spontan bertanya kepada adik-adik di Puncak Alam tentang amalan solat mereka. Sebahagian dari mereka memelihara solat 5 waktu manakala sebahagian yang lain tidak memelihara solat mereka secara konsisten. Selain itu, beliau juga mengingatkan perintah menjaga aurat terutama kepada pelajar perempuan sebagai memenuhi tuntutan agama dan perintah Allah swt sebagaimana yang termaktub dalam surah An-Nur dan dalam sabda Nabi SAW yang mengisyaratkan batas-batas aurat wanita yang sudah akil baligh.

  1. Hablum minannaas – iaitu hubungan sesama manusia. Dalam konteks seorang anak yang masih belajar, manusia yang menjadi keutamaan adalah ibubapa dan guru. Beliau menekankan perihal pentingnya menjaga tingkah laku terutama kepada insan-insan yang perlu dimuliakan. Memetik ayat al-Qur’an yang menyuruh manusia supaya tidak mensyirikkan Allah dan mentaati Rasul SAW, ayat tersebut menyeru manusia berbuat baik kepada ibubapa. Ibubapa menjadi golongan yang perlu ditaati selepas mentaati Allah dan Rasul. Dalam memberi contoh menghormati guru, beliau menyertakan pengalamannya semasa di sekolah rendah di mana seorang pelajar yang terpilih telah gagal dalam peperiksaan dan dipercayai akibat sikapnya yang tidak menghormati guru. Antara kaedah yang sangat beliau tekankan adalah memberi sepenuh tumpuan semasa guru mengajar di dalam kelas, hormati dan hargai sumbangan guru.

 

Satu Proses Pengorbanan

Proses pembelajaran juga adalah satu pengorbanan bagi diri beliau. Untuk tidak menggusarkan ibubapa yang hidup dalam keadaan serba sederhana, beliau sentiasa mengadu hanya kepada Allah swt. Ini sangat menepati ayat 4 surah al-Fatihah di mana Allah swt adalah tempat sebenar untuk mengadu. Beliau benar-benar mengapplikasikan doa sebagai senjata orang Muslim.

Setelah menamatkan sekolah rendah dengan keputusan cemerlang, beliau telah menolak peluang belajar di sekolah berasrama dan mengambil keputusan untuk terus tinggal bersama keluarga. Sekolah menengah yang dimasukinya diberitakan sangat uzur pada masa itu. Satu keputusan atau pengorbanan dari beliau. Mungkin atas dorongan tidak mahu membebankan orangtuanya.

 

Tips-tips Kecemerlangan

Beliau sempat menggariskan beberapa tips yang diamalkannya yang banyak membantu beliau menghadapi 20 subjek yang diambilnya. Antara yang sempat disenaraikan oleh beliau adalah seperti berikut:

1.  Fokus dan beri sepenuh tumpuan semasa di dalam kelas. Adik-adik diingatkan supaya memberikan tumpuan dan tidak mudah dipesongkan dengan perkara-perkara lain semasa proses pembelajaran di dalam kelas. Sebahagian murid mungkin suka berkhayal, bersembang, dan bermain-main di dalam kelas.

2.  Hargai masa. Masa lebih berharga dari emas, kerana emas yang hilang masih boleh diganti tetapi yang yang terbuang tidak akan dapat digantikan lagi dan akan hilang buat selama-lamanya. Sikap suka bertangguh adalah sebenarnya pencuri masa.

3.  Suka bertanya – sikap suka bertanya adalah penting bagi mendapatkan penjelasan bagi mana-mana perkara yang tidak difahami. Beliau mengamalkan sikap suka bertanya terutama dalam matapelajaran mathematik dan sains.

Di antara slogan-slogan yang menjadi pegangan beliau adalah:

1.   99% dari kegagalan adalah dari mereka yang mencari-cari alasan.

2.   Belajar dari kesilapan.

3.   Usaha yang terbaik dan bertawakkal

  • Usaha tanpa tawakkal adalah kesombongan

  • Tawakal tanpa usaha adalah angan-angan kosong

4.   Tiada yang mustahil, Allah swt maha berkuasa

5.   Belajar atau mencari ilmu adalah tuntutan agama – jalan menuntut ilmu adalah jalan menuju syurga.

 

Sessi soal Jawab

Penganjur telah membuka sessi soal jawab dan menghadkan kepada 5 soalan. Antara soalan-soalan yang popular adalah mengenai peranan ibubapa beliau dalam mendidik dan membantu beliau mencapai kejayaan. Hadirin diberitahu bahawa tiada yang istimewa yang dilakukan oleh ibubapa selain ketekunan ibunya dalam memastikan anak-anaknya mendapat ilmu-ilmu asas seperti menulis dan membaca. Kesedaran yang tinggi dalam diri beliau sendiri tentang tanggungjawab sebagai anak sulung membuatkan beliau boleh berdikari dan mampu membuat keputusan dengan matang.

Berdiri untuk menjawab sebahagian persoalan, bapa beliau Nik Mohd Kamal berkongsi sedikit pengalaman beliau dalam membesarkan dan mendidik anak-anaknya. Bekerja sebagai nelayan yang lebih banyak ‘bercakap dengan ikan’ dari bercakap dengan anak-anaknya, beliau banyak menyerahkan kerja-kerja mendidik anak kepada isterinya. Beliau merasakan kejayaan anaknya adalah semata-mata rezeki dari Allah swt yang memilih anak orang miskin pula untuk mendapat keputusan terbaik. Rezeki keluarganya yang sebelumnya agak sempit menjadi melimpah-limpah selepas anaknya menjadi mahsyur. Prinsip mudah yang dipegangnya iaitu DUIT – doa, usaha, ikhtiar, tawakkal.

 

Penutup

Berbincang dengan anak-anak selepas program selesai, penulis berasa Adik Nik Nur Madihah telah berjaya sedikit sebanyak dalam menyampaikan mesejnya kepada anak-anak. Walaupun dalam penilaian penulis persembahan beliau tidak sehebat para pakar motivasi, tetapi aura beliau sebagai pelajar yang menjadi idola anak-anak telah menambat hati mereka dan nasihat-nasihatnya telah melekat di kepala berbanding dari nasihat ibubapa sendiri. Tahniah dan terimakasih kepada Adik Nik Nur Madihah atas masa sumbangan yang diluangkan. Terimakasih juga kerana mendoakan kejayaan murid-murid dan para pelajar di Bandar Puncak Alam.

Bagi pihak SKPA2, selain dari mencatat sejarah kerana menerima kunjungan pelajar paling cemerlang dalam sejarah peperiksaan SPM, SKPA2 juga mungkin telah mencatat sejarah menerima respon paling tinggi dalam mana-mana program yang dianjurkannya.

Pautan artikel tentang Nik Nur Madihah:

·        Di Sebalik Kejayaan Nik Nur Madihah : http://ismaweb.net/v2/Article981.html

·          Menyingkap 1001 Rahsia Kejayaan Adik Nik Nur Madihah: http://ibnismail.wordpress.com/2009/03/14/menyingkap-1001-rahsia-kejayaan-adik-nik-nur-madihah/

·          Lagi Penjelasan Nik Nur Madihah : http://keranacinta.wordpress.com/2009/03/21/lagi-penjelasan-nik-nur-madihah/