|
|
| |
Sambutan
Hari Raya Eidul Adha dan Perlaksanaan Ibadah Korban 2008
(Posted: 9 Dec, 2008)
Pada
tanggal 8 Disember bersamaan 10 Zulhijjah, umat Islam di seluruh
dunia merayakan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan Hari Aidil Adha di
Puncak Alam Fasa 2 bermula dengan laungan takbir seusai solat
fardhu Maghrib pada malam 10 Zulhijjah dan disambung selepas
solat Isya'. Pada sambutan kali ini, majlis takbir selepas solat
Isya malam Hari Raya telah dipanjangkan sehingga jam 11:00 malam.
Kemeriahan sambutan bermula lebih awal dengan upacara
penyembelihan aqiqah pada hari "Arafah", sehari sebelum Hari
Raya. Penyembelihan ini dibuat lebih awal bagi menyediakan
hidangan pada pagi Aidil Adha seusai solat sunat Hari Raya.
|
| |
|
 |
Kemuncak sambutan Hari
Raya Korban adalah upacara korban itu sendiri. Untuk memastikan
kecukupan masa dan kelancaran program, jumlah korban telah dihadkan
kepada enam ekor lembu sahaja. Sekiranya ada permintaan melebihi had
yang telah dirancang, sumbangan korban akan disalurkan ke lokasi yang
lain.
Walaupun cuaca
sepanjang pagi agak sedikit menyulitkan program dengan hujan
renyai-renyai, program telah diteruskan seperti yang dirancang.
Kerjasama ahli qariah yang meminjamkan kanopi telah sedikit sebanyak
membantu melancarkan perjalanan program. |
|
| |
Pakar
penyembelih tempatan dari Fasa 2 iaitu Tuan Haji Zaid Embong dan Tuan
Haji Husaini telah menyumbangkan tenaga dan kepakaran dalam melaksanakan
penyembelihan. Walaupun kali ini tanpa pakar penumbang lembu yang biasa,
telah muncul beberapa pelapis baru dalam melaksanakan tugas yang
mencabar ini. Menjelang jam 11:30 pagi, kesemua enam ekor telah
selamat disembelih, menanti proses melapah.
Pada pemerhatian
penulis, skil melapah bagi ahli qariah masih ditahap yang kurang
memuaskan. Bukan sahaja proses melapah kulit mengambil masa yang lama
dan melibatkan agak ramai sukarelawan bagi setiap ekor lembu, malah
kualiti kerja melapah juga masih perlu diperbaiki terutama dari segi
membelah perut, mengeluar dan mengasingkan perut. Ini dapat dilihat dari
kesan najis yang terlekat pada bahagian daging dan punggung lembu.
Proses ini perlu dikawal selia oleh sekurang-kurangnya seorang pakar
bagi mengelakkan ini dari berlaku. Mungkin perlu ada kursus khas melapah
untuk seorang atau beberapa orang dari ahli qariah bagi persediaan untuk
tahun-tahun mendatang. |
| |
|
| |
Bagi aspek lain, perjalanan
program adalah lancar dan seperti yang dijadualkan. Sekumpulan
sukarelawan bertungkus lumus memotong tulang dengan menggunakan
kapak dan pemotong jubin. Kerja-kerja pemotongan daging
dan pembungkusan telah selesai apabila azan Zohor dilaungkan.
Bagi mempercepatkan proses pembahagian, wakil-wakil zon telah
diarahkan untuk mengedarkan bungkusan-bungkusan daging ke
rumah-rumah yang berpenghuni pada hari tersebut. Memandangkan
jumlah bungkusan yang terhad, ketiadaan sebahagian penghuni yang
berhari raya di luar kawasan telah sedikit sebanyak memudahkan
proses pembahagian di mana jumlah bungkusan dianggarkan
mencukupi bagi setiap rumah yang berpenghuni pada hari tersebut.
Seperkara yang ingin penulis sentuh di sini
adalah konsep gotong royong dan sukarela dalam melibatkan diri
dalam program ibadah seperti ibadah korban. Sesuatu yang terpuji
adalah sikap sedia memberi kerjasama dalam perkara kebaikan.
Mungkin sesuatu yang masih perlukan peningkatan adalah sikap
tidak mengharapkan balasan keduniaan dari penglibatan dalam
aktiviti keagamaan. Sudah seperti kelaziman dalam program korban
bagi para petugas mengharapkan imbuhan dalam bentuk daging
korban yang lebih dari kadar yang biasa diagihkan. Seeloknya,
petugas tidak mengharapkan bahagian yang lebih kerana
ianya akan mengakibatkan pengurangan kuantiti daging untuk
tujuan pengagihan kepada pihak-pihak yang lain. Dan sekiranya
ini dilakukan secara terancang oleh pihak penganjur, ia boleh
mencacatkan ibadah korban tersebut. whlm.
-Ruz '08-
|
| |
SAF2008 Powered by NetMyne |
|